Berkunjung berkali-kali ke Russia dan menjadi peneman kepada Presiden Vladimir Putin pada beberapa program seni bela diri akhirnya pelakon Steven Seagal mendapat kewarganegaraan baru.

Seagal, 64, yang dikenali ramai kerana filem aksinya, turut menunjukkan sikapnya sebagai sehabat sejati Putin.

Pada beberapa keadaan Seagal menjadi jurucakap yang lantang mempertahankan Putin daripada pengkritik, termasuk di AS sendiri.

Jurucakap Putin, Dmitry Peskov memberitahu sejak lama dulu Seagal beria-ia mahukan kewarganegaraan Russia.

"Pelakon itu memang sentiasa mesra kepada Russia dan tidak pernah menyembunyikan perasaan itu.

"Seagal juga seorang pelakon dikenali ramai, justeru ia memberi asas yang kukuh untuk Moscow memberikan kerakyatan kepadanya," kata Peskov.

Seagal mula menceburi dunia lakonan sepenuh masa melalui filem pertamanya Above The Law pada 1987 dengan mempamerkan keunikan seni bela diri aikido.

Kemampuan Seagal membawakan watak lasak itu membuka pintu kepada lebih banyak tawaran berlakon.

Antara filem yang dibintangi Seagal ialah Hard To Kill, Marked For Death dan Under Siege (1992).

Namun bakat Seagal tidak terhad kepada dunia lakonan dan aikido saja.

Pada dirinya Seagal juga berbakat dalam dunia muzik dan memiliki kemahiran bermain gitar.

Malah ada lagu Seagal menjadi penyeri filemnya seperti Fire Down Below dan Ticker.

Dia juga dikenali sebagai pengumpul gitar yang pernah digunakan pemuzik legenda termasuk B B King, Stevie Ray dan Jimi Hendrix.

Namun Seagal bukanlah tokoh berprofil tinggi AS pertama mendapat kerakyatan Russia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Terdahulu Kremlin memberi penghargaan kepada petinju AS Roy Jones Je dan aktor Perancis, Gerard Depardieu.