Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Efek Rumah Kaca anggap demo di Jakarta 'mundur'
Diterbitkan:  Nov 4, 2016 10:31 PM
Dikemaskini: 2:58 PM

Kumpulan Indie Indonesia, Efek Rumah Kaca (ERK) berpendapat demonstrasi yang diadakan di Jakarta hari ini sebagai sebuah 'gerakan mundur'.

Vokalisnya, Cholil Mahmud berkata demonstrasi merupakan perkara yang wajar dalam negara demokrasi, namun isu yang dibangkitkan atas nama agama tidak sesuai dengan masyarakat republik itu.

“Misalnya demo kerana perbezaan agama, perbezaan ras (kaum). Mungkin mereka akan mengusulkan nanti calon presiden tidak boleh beretnis (dari kaum) tertentu, itu sebenarnya balik lagi ke belakang,” katanya seperti dilapor Cnn Indonesia.

Demonstrasi 4 November diadakan bagi membantah kenyataan Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok, yang didakwa menghina agama Islam dengan memetik ayat al- Quran.

Susulan itu dilapor lebih 100,000 umat Islam dari seluruh Indonesia berhimpun di ibu kota Jakarta bagi menyertai demonstrasi selepas solat Jumaat hari ini.

Mereka yang mewakili pelbagai pertubuhan agama termasuk pertubuhan wanita berada di Jakarta sejak semalam dan mula berhimpun di Masjid Istiqal, sebelum berarak ke Istana Presiden.

Bagaimanapun, Ahok sendiri sudah meminta maaf dan pihak berkuasa Indonesia masih menyiasat kenyataannya.

Cholil mengkritik mereka yang bersikap keras dan kurang menerapkan nilai tolak ansur, serta menegaskan undang-undang tidak seharusnya mendasari satu-satu agama tertentu, meskipun majoriti warganegara Indonesia adalah muslim.

ERK sendiri mengeluarkan single berjudul Kuning, di mana terdapat dua fragmen dalam lagu itu- Keberagaman dan Keberagamaan - yang menggambarkan keadaan Indonesia ketika ini.

Dalam fragmen Keberagamaan, terdapat bait lirik yang berbunyi:

Manusia menafikan tuhan
Melarang atas perbedaan
Persepsi dibelenggu tradisi
Jiwa yang keruhpun bersemi
Nihil maknanya
Hampa surganya
Hampa

Sementara dalam fragmen Keberagaman, liriknya berbunyi:

Beragam, berwarna
Lestarilah tumbuhnya
Bermacam agama
Dipancarkan cintanya
Semua bertautan

“Ketika menulis, kita berusaha menjernihkan fikiran dan hati. Inginnya (pesan lirik) itu sampai kepada orang yang mendengar. Tanggapan pasti berbeza-beza, ada yang setuju dan ada beberapa juga yang kontra," kata Adrian, pencipta lirik lagu tersebut.

Lihat Komen
ADS