Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Hazama tak gopoh sunting wanita 'diamaran mama'

Ada sesuatu yang benar-benar membuatkan penyanyi Hazama begitu tertarik pada wanita berbeza agama untuk mengisi hatinya yang sebelum ini kosong.

Atas alasan sama juga penyanyi Diamaran Mama itu bercadang untuk mengambil wanita itu sebagai isteri pada detik yang dirasakan sesuai nanti.

Ditanya mengenai wanita impiannya Hazama berkata dia tidak sembarangan mahu memiliki, sebaliknya menjadikan “kesempurnaan hati” sebagai aspek nombor satu untuk membina rumah tangga berkekalan.

“Saya memilih dia bukan kerana pakaian yang dipakai, tetapi kerana wanita itu memiliki hati yang baik. Saya bukanlah lelaki sempurna tetapi dia melengkapkan diri ini sebagai manusia, sebagai wanita relevan dengan saya dan ada sebabnya kenapa Tuhan 'turunkan' dia kepada saya,” katanya.

Hazama atau nama asalnya Hazama Ahmad Azmi, 31, ditemui pada Live Ekstravaganza Anugerah Industri Muzik 22 (AIM22) di Kuala Lumpur semalam.

Biarpun tempoh menyulam cinta Hazama bersama Genervie Kam (gambar) sudah mencecah empat tahun juara Akademi Fantasia 9 itu mengambil sikap tidak bergopoh-gopoh dalam perkahwinan.

Genervie, 36, adalah seorang pemuzik popular yang sering mengiringi persembahan penyanyi ternama.

Untuk lebih ‘selesa’ penyanyi itu juga memberikan ruang mencukupi untuk melakukan penghijrahan.

Justeru dia tidak akan memaksa Genervie membuat keputusan berkenaan, termasuk mengucap syahadah atau menutup aurat. Bagi Hazama biarlah ia berlangsung tanpa paksaan.

“Islam tidak memaksa, begitu juga dalam bab menutup aurat cuma saya mahu pastikan keputusan dibuat bukan atas sebab orang lain," katanya.

Seekor kambing memadai

Menurut Hazama untuk saudara baru, jalan penyelesaian bukan diperoleh dalam masa sehari dua, tetapi perlu ada proses satu persatu.

Sementara itu ditanya mengenai perancangannya Hazama berkata sebolehnya dia tidak mahu berbelanja sakan semata-mata pada hari dia digelar raja sehari.

Sebaliknya bagi Hazama ada syariat - iaitu akad nikah - yang lebih utama untuk diperhatikan.

Katanya, barangkali majlis selepas akad nikahnya nanti hanya akan dihadiri anggota keluarga dan rakan terdekat. 

“Saya sebenarnya rancang untuk nikah saja. Majlis kenduri mungkin boleh dibuat dua tiga bulan atau setahun selepas itu apabila ada kemampuan.

"Saya mungkin boleh jadi hero (dan teladan) untuk orang kurang berkemampuan berkahwin dengan melakukan majlis itu secara sederhana.

"Dalam Islam pernikahan tidak dirumitkan kerana memadai kenduri diadakan dengan menyembelih seekor kambing dan dihadiri oleh empat orang saja," katanya.

Hazama turut mengakui kesibukan mengurus album baru yang tertangguh banyak mengambil masanya sehingga soal perkahwinan berada di luar fokus utamanya.

Sementara itu Hazama bersyukur apabila namanya mendapat tiga pencalonan dalam AIM22 iaitu kategori persembahan vokal terbaik dalam lagu melalui Sampai Mati, video muzik terbaik (Sampai Mati) dan lagu pop terbaik (Sedetik Lara).

“Saya betul-betul tidak menjangka dapat mengisi tempat lima teratas dalam AIM22.

"Berdasarkan lagu yang disenaraikan, ia memang berbaloi kerana karya saya diiktiraf," katanya.

Namun Hazama tetap bersikap realistik.

“Saya tidak mengharapkan kemenangan kerana bukan tujuan saya menjadi penyanyi semata-mata untuk bertanding sebaliknya mahu menaik taraf industri muzik tanah air,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS