Berpengalaman lebih 20 tahun dalam industri hiburan bukan alasan penyanyi popular Ziana Zain untuk dianggap artis besar kepala.

Bagi Ziana, seseorang artis berpangkat senior harus realistik bahawa kegemilangan yang pernah dikecapi hanya bersifat sementara.

“Apabila berada di dalam industri, kita (artis) selalu kena memberi dan menerima, jadi tiada perkara seperti saya lebih senior maka perlu jadi diva, tidak perlu.

“Harus sentiasa beringat perkara itu kerana kita bukan selalunya terbaik, ada orang lain lebih bagus akan mengambil tempat anda suatu hari nanti,” katanya.

Ziana atau nama asalnya Siti Roziana Zain, 48, ditemui pada sidang media konsert High Note di Istana Budaya baru-baru ini.

Konsert High Note akan menampilkan gandingan Ziana bersama Jaclyn Victor dan Azlan Typewriter.

Ketiga-tiga artis itu buat julung kali dipilih berkongsi pentas bagi menjayakan konsep persembahan lagu bernada tinggi yang perlu dinyanyikan.

Mengambil tempat di Panggung Sari Istana Budaya, Konsert High Note dijadual menggegarkan peminat selama tiga hari berturut-turut bermula 25 hingga 27 November depan.

Bukan perkara asing sekiranya nama Ziana Zain masih mendapat tempat di hati peminat kerana kualiti vokal yang ada padanya bukan calang-calang.

Antara lagu pernah dipopularkan Ziana adalah Anggapanmu, Putus Terpaksa, Kemelut di Muara Kasih dan Terlerai Kasih.

Pun begitu, dengan sikap merendah diri penyanyi Madah Berhelah itu berkata berkat rahmat diperolehi, dia bersyukur kerana namanya tidak dilupakan peminat biarpun usianya hampir mencecah 50an.

Tetapi tatkala di usia sebegitu, hanya satu Ziana harapkan - peminat tidak meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap kualiti vokalnya apabila dia membuat sesuatu persembahan.

Ziana berkata, pada hakikat kualiti suara yang ada mengalami perubahan sejajar dengan usia yang meningkat

“Saya akan menyanyi dalam keadaan selesa, kalau untuk konsert nanti pula dengan nada ketinggian tertentu.

“Bukan apa, dulu anak dara sekarang sudah menjadi mak dara,” katanya dengan nada berseloroh.