Lady Gaga bantah kemenangan Trump
Sedang dunia heboh memperkatakan keputusan undian yang menyaksikan Donald Trump dilantik sebagai presiden Amerika Syarikat, penyanyi Lady Gaga pula sibuk mengadakan bantahan di luar Trump Tower, menara milik bilionair berkenaan.
Lady Gaga antara barisan selebriti Hollywood yang menyokong teguh bekas wanita pertama AS Hillary Clinton, 69.
Penyanyi Perfect Illusion dan Bad Romance itu sebelum ini pernah membuat kemunculan dan mengadakan persembahan di perhimpunan akhir untuk mengundi Hillary.
Lady Gaga antara selebriti yang meluahkan komen negatif terhadap kemenangan Trump pagi tadi menerusi Twitter.
“Berdoalah Amerika,” katanya selepas keputusan diumumkan.
Lady Gaga berada di luar menara itu sambil memegang plakad tertulis perkataan: “Love Trump hate.”
Trump - seorang ahli perniagaan dan bekas hos siri realiti televisyen muncul sebagai pemenang dalam persaingan menduduki Rumah Putih mengalahkan Clinton hari ini.
Lady Gaga memang seorang yang lantang menyuarakan pendapat, dan terbaru dia pernah mencabar Trump dan isterinya, Melania.
Dalam kejadian berkenaan, bakal Wanita Pertama - Melania - mengutuk sikap membuli atas talian, tetapi kenyataan itu didakwa Lady Gaga sebagai hipokrit.
Menerusi Twitter, Lady Gaga ‘berpesan’ kepada Melania.
“Untuk mengatakan kamu menyokong anti buli adalah tindakan hipokrit. Sedangkan suami kamu pembuli nombor 1 yang kami pernah saksikan.” katanya.
Dia kemudian memuat naik status untuk Trump dengan menyatakan: “Kamu memecah belahkan kami dengan kebencian dan ketakukan. Saya menyayangi semua orang dalam negara ini dan saya mengundi untuk @HillaryClinton agar menyatupadukan kita.”
Lady Gaga sebelum itu menggesa rakyat Amerika keluar untuk mengundi Hillary dan mengubah Twitter handle kepada #VoteHillary.
“Orang muda dengar sini. Kita perlu bergerak sekarang #VoteHillary dan hentikan lelaki berbahaya ini daripada terus menerus memecah belahkan dan merosakkan demokrasi kita,” katanya.

