Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Beberapa negeri di Malaysia sedang menyusun strategi melengkapkan keperluannya menjadi negeri yang maju dan berbudaya. Bukan sahaja maju dari segi teknologi, tetapi maju sebagai negeri yang beridentiti dan dihormati kerana menyanjungi kreativiti setiap warganya.

Di di Perak, satu ‘Sarang’ diwujudkan dengan kerjasama antara Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) dengan Enjit Semut SB yang dimiliki oleh pengarah filem tersohor Mamat Khalid.

Selain itu, Balai Seni Visual Negara juga akan turut membuka cawangannya yang pertama di Ipoh.

Begitu juga dengan Johor, pembinaan Pinewood Studio yang bersaiz 100 ribu kaki persegi yang menjurus kepada pasaran industri pembuatan filem, di Iskandar Malaysia telah bergerak mendepani industri ‘oren’. Walaupun hasilnya belum nampak, tetapi usaha itu sedang berjalan.

Malah kerajaan negeri sendiri hari ini sedang menyediakan Pelan Induk Pembangunan Kreatif negeri khas untuk tujuan tersebut.

Justeru, strategi ini bukan lagi dilihat sekadar alat untuk ‘membela’ warga kreatif dan seniman, tetapi telah berubah menjadi suatu model pembangunan ekonomi dan sosial.

‘Industri’ itu sendiri tidak lagi boleh ditafsir sebagai industri automotif, fabrik, industri kecil dan sederhana (IKS) atau industri berat, tetapi industri hari ini sudah mula berasaskan produk ‘idea’ atau hasil kerja intelek.

Budaya West End

Hari ini negeri Selangor juga sedang bergerak ke arah pembangunan industri berasaskan intelek. Mungkin agak awal untuk menggunakan istilah ‘industri’ tetapi tidak salah bagi menggambarkan usaha kerajaan kepada anak negeri untuk mewujudkan aktiviti ekonomi – penawaran dan permintaan.

Sesuai dengan sebuah negeri yang paling banyak menyumbang cukai kepada persekutuan, Selangor memilih model yang dilihat amat signifikan dengan identitinya.

Di West End, London saya kira lebih dari 50 buah pentas teater sedia wujud. Latar sejarahnya cukup panjang. Dari yang bersaiz kecil (box) yang menampung 20 hingga 40 orang hinggalah ke pentas perdana bersaiz Istana Budaya.

Begitu juga dengan jumlah pementasan yang hampir setiap hari ada pementasan dan penonton. Dianggarkan pada tahun 2015, jumlah mereka yang menonton di sekitar West End lebih 14 juta penonton, purata 280 ribu penonton seminggu. Kutipan tiket dan lain-lain jualan pada tahun 2015 sekitar 600 juta pound untuk 53 minggu pementasan.

Dari naskhah klasik, hinggalah genre pop dan eksperimental, semuanya ada di ‘kilang’ teater itu. Ini bukan sahaja mewujudkan trafik penonton tetapi juga menggerakkan aktiviti ekonomi tempatan.

Dari situlah munculnya kedai-kedai buku, kedai muzik, kedai cenderamata, kedai roti dan kafe.

Kita sedar, untuk mendapatkan kualiti, kita harus memiliki kuantiti, tidak ada jalan pintas itu itu. Ini proses kreativiti yang panjang untuk menghasilkan adikarya (jika adikarya yang kita ambil sebagai kayu ukur)

Jika kita mahukan ukuran ekonomi, maka usahawan kreatif harus turut bekerjasama menjayakan agenda ini.

Kotak Hitam@SACCMall

Dua buah black box (istillah panggung pentas mini) sedang dibina di Kompleks SACC Mall Shah Alam. Dua ‘kotak hitam’ yang kecil ini akan menjadi perintis ‘kilang’ teater dan persembahan seni di Selangor. Kotak hitam ini diwujudkan dengan kerjasama PKNS Real Estate (PREC) dan Jawatankuasa Tetap Kebudayaan Negeri Selangor.

Konsep ini bukanlah baru di Malaysia, ia telah lama dan banyak dibuat di sektor swasta atau persendirian, seperti Publika. Justeru, konsepnya tidak jauh berbeza tetapi ia berbeza dari aspek memberi bantuan dan keutamaan kepada penggiat seni tempatan.

Tidak terlalu ghairah atau optimis, tetapi setiap rangka pembangunan yang besar sebaiknya dimulakan secara kecil dan sederhana. Ini penting untuk membolehkan perkembangannya dapat disusun dengan lebih cekap dan baik.

Kotak hitam ini khas ditujukan buat seniman muda, aktivis seni dan pencinta seni persembahan di seluruh negeri hatta budayawan seantero Malaysia. Dengan kos harga arena yang sangat masuk akal, kita harap, tidak ada lagi alasan ‘tidak punya pentas’ bagi seniman muda untuk berkarya.

Dalam setahun, kita ada 48 minggu, jika ditolak dengan pelbagai cuti umum atau hari raya, puasa dan lain-lain, mungkin kita ada sekitar 40 minggu. Jika setiap hujung minggu BlackBox@SACCMall punya pementasan, maka paling tidak kita akan dapat menonton 40 buah naskhah, 40 kumpulan teater atau 40 buah persembahan muzik.

Mungkin nisbah ini masih kecil, tetapi kotak kecil ini boleh menjadi satu ‘kilang’ yang besar suatu hari nanti jika dijalankan dengan cekap.

Kualiti di peringkat awal ini tidaklah dapat dibandingkan dengan hasil kerja di West End, tetapi kita yakin akan lebih ramai lagi seniman muda yang tampil untuk meningkatkan mutu karya mereka.

Seniman, masyarakat dan birokrat harus bersedia bahawa usaha ini memerlukan proses yang akan memakan sedikit masa untuk memberi makna terhadap pelaburan kerajaan negeri. Pelaburan ke atas kemanusiaan, adalah berterusan.

Lihat Komen
ADS