Ini Firdaus Imtiaz, karektor TN50
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhasrat mewujudkan rakyat Malaysia yang mampu menjadi pemain di peringkat antarabangsa.
"Apabila kita bentuk TN50, kita nak lahirkan watak lebih banyak pemain di peringkat antarabangsa,” katanya dalam ucapan penutupan Majlis Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
Beliau mengulas matlamat itu yang diumumkannya dalam Belanjawan 2017 baru-baru ini.
Bagaimanapun, bagaimana rupanya watak yang diimpikan perdana menteri itu?
Jawapannya dalam video animasi pendek "Firdaus Imtiaz" yang ditayangkan dalam majlis penutup acara itu.
Dalam video itu, Firdaus digambarkan sebagai seorang anak muda yang berdiri di pentas antarabangsa yang mempunyai banyak perniagaan di luar negara.
Beliau juga tahu bertutur dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Perancis dan Jepun selain taat kepada ibu bapa dan rajin membaca al-Quran dari kecil.
"Tadi kita tengok video animasi Firdaus Imtiaz, itulah watak dan karakter kita tengok dalam TN50.
"Itulah impian kita ke hadapan 30 tahun akan datang," kata Najib lagi dalam ucapannya.

