Lazimnya, lagu yang kerap didendangkan menimbulkan perasaan bosan kepada si penyanyi, tetapi lain pula dengan Jaclyn Victor.

Apabila diundang memenuhi jemputan sesuatu majlis, Jaclyn sering diajukan permintaan agar menyanyikan single pertamanya Gemilang.

Muak tidak, menolak pun bukan, sebaliknya Jaclyn memang menyimpan perasaan ‘cinta’ agung terhadap lagu berkenaan.

“Gemilang menduduki tempat paling istimewa dalam diri saya, kerana ketika sedang bersedih atau tidak bersemangat, saya akan menonton rakaman persembahan finale Malaysian Idol semula.

“Lagu itu membuatkan saya meremang bulu roma dan selepas itu perasaan akan kembali positif,” katanya yang ditemui baru-baru ini di Istana Budaya bagi mempromosi konsert High Note.

Gemilang menjadi kepunyaan Jaclyn atau nama penuhnya Jaclyn Joshua Thanaraj Victor, 37, selepas dirinya dinobat sebagai pemenang Malaysian Idol tahun 2004.

Ketika itu, Jaclyn perlu berentap di peringkat akhir bagi merebut gelaran juara dengan Dina Nadzir.

Kemenangan yang menjadi milik Jaclyn 14 tahun lalu membuka peluang untuk lagu digubah Aubrey Suwito itu dibawa dan dirakam dalam album sulungnya - juga dengan judul yang sama.

Menurut isteri kepada Shawn Rivera - pemuzik AS yang pernah menganggotai kumpulan Az Yet itu, peratus kebarangkalian dia diminta menyanyikan Gemilang adalah sebanyak 99 kali.

“Saya tidak bosan malah gembira apabila ada orang menggemari lagu berkenaan malah saya akan menyanyikan ia dengan pelbagai cara.

“Gemilang adalah lagu yang pernah mengubah hidup saya.

“Walaupun seringkali menjadi lagu wajib bagi pihak penganjur, apabila diminta menyanyikan ia sebanyak mana sekalipun saya tidak kisah,” katanya.