Majalah humor Gila Gila kembali 'menyengat' dengan sindiran melalui kartun.

Pada edisi November majalah itu memaparkan aksi seorang lelaki yang terkejut diserbu pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Seperti biasa ilustrasi kulit depan Gila Gila memaparkan lakaran Jaafar Taib yang juga ketua pengarang majalah berkenaan.

“Woi banyaknya!.. Meh kami tolong kirakan,” kata karakter bertali leher dan memegang fail SPRM itu.

Tidak ketinggalan beberapa watak berpakaian seragam biru seperti anggota polis di belakang pegawai SPRM berkenaan, selain beberapa jurukamera yang boleh ditafsirkan sebagai petugas media.

Sejak diterbitkan pada April 1978 Gila Gila memang dikenali sebagai sebuah majalah humor yang 'berisi' kerana sering peka kepada perkembangan semasa.

Melalui lakaran bersifat menyindir tetapi bersahaja Gila Gila sering mentafsir isu dalam dan luar negara dari sudut humor namun ia dihasilkan lebih daripada selapis.

Muka depan edisi 788 itu misalnya boleh ditafsirkan sebagai pandangan majalah itu kepada isu rasuah - termasuk yang berprofil tinggi - di dalam negara ini.

Antara kes rasuah terkini paling menggemparkan ialah penemuan jutaan ringgit pada pegawai kanan Lembaga Air Sabah pada awal Oktober lalu.

Media melaporkan SPRM merampas wang tunai berjumlah RM112 juta, sembilan kereta mewah, barangan kemas, geran tanah dan beberapa barangan lain susulan daripada dua pegawai jabatan berkenaan.

Tak ambil hati

Tangkapan itu dibuat hasil siasatan SPRM terhadap projek kemudahan bekalan air di Sabah yang membabitkan nilai RM3.3 bilion.

Turut menarik perhatian ialah penahanan - serta pendakwaan - pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Dari pandangan humor ilustrasi itu tidak berbentuk peribadi kecuali ada pembaca yang mahu beranggapan sebegitu.

Pada kolum Panaurama di muka surat 41 pula, pelukis Kerengge menyentuh isu 'gabungan' yang digambarkan melalui imej petrol dan pemetik api.

Dialog pada karakter pam petrol berbunyi: “Apa kata parti kita bergabung demi rakyat.”

Dan dijawab oleh karakter pemetik api: “Jom demi rakyat.”

Sementara itu penulis dan pelakon Pyanhabib berkata sejak puluhan tahun lalu Gila Gila memang menjadikan tokoh politik sebagai sumber lakaran mereka.

Katanya tokoh yang diperhatikan tidak terbatas, malah Tun Dr Mahathir Mohamad turut pernah menjadi bahan untuk majalah itu.

Tidak ketinggalan, Tan Sri Elyas Omar yang pernah menjadi Datuk Bandar Kuala Lumpur antara Februari 1983 hingga November 1992.

"Tapi semuanya tak marah atau ambil hati," katanya yang turut menjadi kolumnis Repek Osman Tikus.

Terdahulu, isu virus Zika dan demam permainan Pokemon GO turut mendapat perhatian pengarang Gila Gila.

Gila Gila pernah ‘meletup’ suatu ketika dulu kerana sikapnya yang melawan arus budaya dengan isu sensasi dijadikan topik utama.