Selepas lima dekad dan dianggar berlakon lebih 200 buah filem, pelakon aksi terkenal Hong Kong Jackie Chan akhirnya diumum sebagai pemenang Anugerah Kehormat Akademi atau lebih dikenali sebagai Oscar.
Jackie menerima anugerah pencapaian sepanjang zaman itu pada majlis Anugerah Gabenor kelapan di Hollywood kelmarin.
Aktor berasal dari China itu pertama kali ‘mengidam’ Anugerah Oscar ketika melihat bintang Hollywood, Sylvester Stallone menggenggam trofi bersalut emas itu 23 tahun lalu.
"Saya tak percaya yang saya dapat berdiri di sini. Ia benar-benar satu mimpi.
“Selepas 56 tahun dalam industri, membintangi lebih 200 filem dan banyak tulang yang patah, anugerah ini akhirnya milik saya,” katanya sambil menjulang anugerah berkenaan.
Mengimbau kisah lalu, Jackie memberitahu, bapanya sering bertanyakan mengenai Anugerah Oscar ketika mereka duduk menonton acara berprestij itu di televisyen.
Persoalan sering dibangkitkan mengapa selepas membintangi ratusan filem, namanya tiada dalam senarai penerima anugerah tertinggi Hollywood itu.
Ketika menyampaikan ucapannya, Jackie mengambil kesempatan memuji kampung halamannya.
“Saya ingin berterima kasih kepada Hong Kong, sebuah bandar yang hebat kerana ia yang menjadikan diri ini seperti sekarang.
“China adalah negara saya dan kerana itu, saya begitu berbangga menjadi sebahagian daripadanya,” katanya.
“Juga jutaan terima kasih kepada peminat di seluruh dunia, kerana andalah saya berterusan menghasilkan filem, lompat keluar tingkap, menendang, menumbuk hingga mematahkan tulang, terima kasih,” katanya.
Anugerah Akademi adalah majlis anugerah yang dikendalikan Akademi Sains dan Seni Perfileman (AMPAS) bagi mengiktiraf kecemerlangan penggiat filem Amerika Syarikat.
Anugerah Kehormat Oscar mula diperkenalkan pada tahun 1929 apabila Warner Bros dan Charlie Chaplin merangkul pengiktirafan berkenaan.
Jackie layak dapat
Sementara itu, selebriti yang dua kali memenangi Anugerah Oscar, Tom Hanks pula menyifatkan Jackie sebagai “Chantastic” Chan.
“Ia satu perkara paling memuaskan apabila dapat mengiktiraf usaha kreatif Jackie atas nama seni mempertahankan diri dan komedi aksi - kerana ia dua genre yang sering dilepas pandang semasa musim anugerah,” katanya.
Pelakon Aaron Eckhart yang membawa watak Harvey Dent menerusi Dark Knight pula berkata Jackie sememangnya layak mendapat anugerah berkenaan.
“Dia seorang artis, saya maksudkan keghairahan dia dipamerkan dalam hasil kerjanya. Dia seorang yang kreatif, malah sering mengukir senyuman.
“Untuk itu, dia senang digelar sebagai contoh, legenda dan ikon,” katanya.
