Michael Moore, pengarah filem dokumentari yang pernah memenangi Anugerah Oscar berkata, dia percaya kejayaan masa depan parti Demokrat bergantung kepada idea populis.
Moore, yang dilihat cenderung dengan aliran kiri berkata, kepimpinan yang terhasil daripada kekosongan yang ditinggalkan pemimpin seperti Hillary Clinton dan Barack Obama perlu diisi selebriti popular.
"Demokrat akan lebih baik jika mereka meletakkan Oprah (Winfrey) atau Tom Hanks," kata Moore.
"Mengapa kita tak letakkan orang yang kita suka?
"Kita ada ramai. Republikan buat benda ini. Mereka letakkan (Ronald) Reagan dan Terminator (Arnold Schwarzenegger) dan orang lain," kata Moore dalam program State Of The Union, CNN.
Pengarah 'Fahrenheit 9/11' dan 'Bowling for Columbine' itu pada tahun ini menghasilkan satu lagi dokumentari berjudul 'Michael Moore in TrumpLand' yang berkisar mengenai kempen pemilihan presiden pada 2016.
"Mengapa kita tak letakkan seseorang yang rakyat Amerika suka dan benar-benar tertarik dengannya, yang pintar dan mempunyai politik yang baik dan semua tu?," soalnya lagi.
Bagaimanapun, sama ada Hanks atau Winfrey telah menyatakan hasrat tidak menyertai politik.
Selebriti yang telah menyatakan minat untuk bertanding bagi jawatan politik termasuk Will Smith, Angelina Jolie, Roseanne Barr dan Dwayne Johnson.
Trump, seorang jutawan harta tanah serta personaliti televisyen mengejutkan ramai apabila memenangi pilihan raya umum presiden Amerika Syarikat pada 9 November lalu.
Muncul dengan pendekatan keras dan kontroversi, Trump - dari parti Republikan - mengetepikan calon lebih popular, Hillary Clinton daripada parti Demokrat.
Hillary adalah bekas wanita pertama AS antara Januari 1993 hingga 2001.
