Penulis lirik generasi baru tidak seharusnya mengejar nilai komersial semata-mata sekiranya ingin jangka hayat sesebuah lagu kekal lama dan terpahat dalam ingatan pendengar.

Bagi penulis lirik terkenal Habsah Hassan, sesebuah lirik yang ditulis dengan penguasaan bahasa yang baik tidak akan mudah luput ditelan zaman.

“Kalau benar-benar berbakat, kenapa tidak hasilkan sesuatu yang indah dan dapat bertahan lama?," luah Habsah.

Menurutnya, penulis muda kini lebih gemar menghasilkan lirik yang ringkas dan menggunakan bahasa pasar, tetapi akhirnya lagu-lagu sebegitu tidak dapat bertahan.

“Orang muda sebahagiannya gemar lagu-lagu yang dipersembahkan menggunakan bahasa ringkas atau pasar.

“Ia tiada nilai evergreen dan hanya menjadi ikutan umum pada ketika itu hingga akhirnya akan dilupakan apabila mereka meningkat dewasa,” katanya kepada Malaysiakini.

Habsah atau lebih mesra dipanggil Kak Chah berkata, adalah malang sekiranya penulis muda mensia-siakan bakat yang dikurniakan kepada mereka.

“Bakat ini anugerah, tidak semua orang boleh menulis dan berkarya. Sayangnya budak-budak ini kalau tidak cuba melakukan yang terbaik," tambahnya.

Apabila memperkatakan tentang penulisan lirik lagu, nama Habsah tidak perlu diperkenalkan.

Setiap bait lirik yang dihasilkan ditulis dengan penuh puitis dan penghayatan serta mengandungi mesej tersendiri. 

Antara lagu yang pernah popular di tangan Habsah adalah Merisik Khabar (allahyarham Sudirman Arshad), Menaruh Harapan (Zaiton Sameon), Pulangkan (Misha Omar) dan terbaru Andainya Takdir (Anuar Zain).

Habsah - yang dilahirkan di Johor tetapi dibesarkan di Singapura dan Melaka - turut membabitkan diri dalam penulisan skrip radio, televisyen dan filem sejak 1967, selain menjadi penerbit untuk sebuah produksi filem.

Namun, nama Habsah lebih sinonim dalam penulisan lirik apabila banyak membabitkan diri dalam rakaman album.

Menyedari kemahuan anak muda tidak boleh disekat, Habsah percaya sesuatu genre muzik juga tidak akan kekal bertahan.

“Hidup ini satu evolusi, dahulu umum gemarkan genre dangdut tetapi selepas itu ia hilang.

“Suatu hari nanti kita mungkin kembali ke zaman itu, jadi biarkan generasi muda dengan kegemaran mereka. Nanti mereka berubah,” katanya.