Bono U2 gesa Trump utamakan kesaksamaan gender
Vokalis kumpulan Rock U2 dari Ireland, Bono menggesa Donald Trump yang dipilih sebagai presiden Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini supaya mengutamakan kesaksamaan gender.
Peranan Bono sebagai “duta wanita” bermula sebaik penyanyi itu berucap di atas pentas semasa menerima anugerah 'Women of The Year' oleh majalah AS, Glamour.
Bono adalah lelaki pertama mendapat pengiktirafan berkenaan dalam satu majlis yang berlangsung di Los Angeles, kelmarin.
“Saya berkata kepada Presiden untuk memandang wanita lebih daripada itu: jadikan kesaksamaan sebagai keutamaan, hanya cara itu kita dapat melangkah lebih jauh,” katanya.
Selain Bono, beberapa nama turut menerima anugerah 'Women of The Year' termasuk Ketua Tabung Kewangan Antarabangsa Christine Lagarde, atlet gimnastik sukan Olimpik Simone Biles dan penyanyi Gwen Stefani.
Sumbangan Bono mula mendapat perhatian umum selepas dia melancarkan kempen pergerakan 'Poverty is Sexist' tahun lepas.
Trump dikecam hebat kerana sering mengeluarkan kenyataan berbaur seksis, lucah selain merendah-rendahkan kaum wanita.
Beliau mengejutkan ramai apabila diumum sebagai calon Presiden AS ke-45 selepas mengalahkan calon Demokrat Hillary Clinton pada pilihan raya presiden minggu lalu.
Beberapa pertubuhan dan persatuan wanita merancang untuk melakukan himpunan besar-besaran di Washington pada 21 Januari depan, sehari selepas Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden.
Rakyat AS yang prihatin sebenarnya gelisah terhadap sikap Trump yang pernah diakwa melakukan serangan seksual ke atas wanita.
Bagaimanapun Trump menafikan sekeras-kerasnya dakwaan terbabit dan menyatakan "tiada insan lain lebih menghormati wanita seperti saya”.
Walaupun Bono hadir ke upacara penerimaan anugerah Women of the Year, pada awalnya dia merasakan pengiktirafan berkenaan tidak masuk akal.
“Saya sedar betapa melampaunya saya untuk berada di atas pentas dan menerima anugerah ini. Tetapi jika saya tidak tahu betapa mengarutnya ia, Internet ada untuk mengingatkan diri ini,” katanya.
Penyanyi Sweetest Thing itu turut memetik kenyataan anak perempuannya Jordan mengenai hak sama rata perlu diberikan kepada wanita.
“Tiada di alam ini wanita akan berpeluang mempunyai hak sama seperti lelaki.
“Jika kita tidak mengatasi masalah itu, lelaki dan wanita tidak akan seiring. Dan dunia akan terus menerus membenci wanita, melakukan keganasan dan memilih jalan yang memusnahkan.
“Kereta api akan meninggalkan stesen, sama ada anda menaikinya atau tidak,” katanya.

