Diuji dengan kemelut rumah tangga tidak menyebabkan Farid Kamil cepat ‘melatah’ sebaliknya aktor itu teguh mempertahankan mahligai dibina selama empat tahun menerusi pendekatan bermuhasabah.

Biarpun diasak soalan demi soalan mengenai pergolakan yang menimpa hubungannya dengan isteri Diana Danielle, Farid ketika ditemui malam semalam dilihat sempat mengukir senyuman sebelum menjawab dengan tenang setiap pertanyaan media.

Sebagai suami, Farid dilihat bijak mengendalikan situasi yang melanda rumah tangganya dengan tidak menyalahkan sesiapa.

“Saya tidak berasa marah kepada Diana. Bagi saya, apabila perkahwinan diuji, setiap pasangan itu perlu melakukan muhasabah tentang kesilapan yang mungkin terjadi.

“Dan itulah perkara yang dilakukan oleh saya semasa berdepan apa jua situasi.

“Ini hikmah, kita perlu sentiasa berbincang mengenai masalah yang dihadapi secara terbuka,” katanya.

Farid ditemui ketika majlis Anugerah Skrin 2016 yang diadakan di Dewan Plenary, PICC Putrajaya malam tadi. Dia hadir di majlis itu bersama Diana.

Sebelum media meluru untuk mendapatkan kenyataan mereka, pasangan itu dilihat berjalan sambil berpegangan tangan ketika keluar dari dewan.

Boleh juga dikatakan, melontarkan jawapan 'selamat' kepada media menjadi pilihan pelakon itu untuk menjelaskan konflik rumah tangga dihadapi bersama Diana.

Justeru hingga kini, masih tiada penjelasan kukuh diutarakan Farid atau Diana mengenai spekulasi yang tercetus dalam rumah tangga mereka.

Diana sebelum ini mendedahkan dia hadir ke mahkamah syariah untuk mendapatkan khidmat nasihat peguam bagi perkahwinan mereka.

Pasangan itu dinikahkan pada 3 November 2012 dan sepanjang tempoh perkongsian hidup bersama mereka dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 3, dan Aurora, 1.

Kata Farid, biarpun dilanda badai, momentum hubungan mereka masih seperti biasa, bahkan seperti tiada apa yang berlaku.

“Tiada perbezaan baik dahulu mahupun sekarang dan hubungan kami masih utuh dan gembira

“Mendepani situasi begini secara tidak langsung menambah gembira dan kemanisan dalam berumah tangga," katanya.

Bagi pelakon Langit Cinta itu, tindakan Diana mendapatkan nasihat mengenai hal rumah tangga di mahkamah bukanlah perkara luar biasa malah ia patut dipraktikkan oleh mana-mana pasangan yang cuba mencari jalan penyelesaian.

“Mahkamah syariah bukanlah institusi untuk menjatuhkan hukuman saja, ia juga menjadi tempat untuk merujuk maklumat khususnya buat pasangan suami isteri,” katanya.