Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Meskipun bertembung dengan tarikh perhimpunan BERSIH di ibu negara, Konsert Rockaway yang berlangsung di Bukit Jalil Extreme Park malam semalam tetap mendapat sambutan hangat daripada peminat rock tempatan.

Keadaan panas terik dan disusuli hujan renyai pada sebelah petang tidak menghalang peminat terus setia menantikan persembahan daripada kumpulan kegemaran mereka.

Sebanyak 16 kumpulan tempatan menampilkan aksi mereka dan ia dimeriahkan dengan kemunculan istimewa tiga kumpulan dari Amerika Syarikat- Third Eye Blind, Taking Back Sunday dan The Get Up Kids.

Turut mencuri tumpuan apabila kumpulan rock n roll tempatan, Deja Voodo Spells membuat persembahan bersama bekas gitaris Gun N' Roses, Ron Thal.

Rockaway yang sinonim dengan gelaran festival music rock terbesar di Malaysia itu turut dimeriahkan oleh artis tempatan seperti Zainal Abidin dan Alleycats. 

Ikon rock tanahair, Butterfingers membuat kemunculan malam tadi dengan membawakan 15 lagu pada acara penutup selepas lapan tahun menyepikan diri.

Mereka meyampaikan lagu-lagu keramat mereka, antaranya Viopipe, Wet Blanket, Daulat Tuanku, Selamat Tinggal Dunia, Kabus Ribut dan Tentang-Tentang. 

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Livescape Muhammad Iqbal, festival berkenaan berjalan lancar walaupun terdapat sedikit penurunan jangkaan penonton yang hadir.

“Kami mengjangkakan sebanyak 20,000 penonton hadir sebaliknya hanya 12,000.

“Penurunan bilangan penonton itu mungkin disebabkan berlaku aktiviti lain yang diadakan di sekitar ibu negara, bagaimanapun ia tidak menjejaskan festival ini daripada berlangsung,” katanya.

Tak salah protes

Ketika diajukan soalan mengenai himpunan BERSIH di ibu negara, vokalis Third Eye Blind Stephan Jenkins berkata himpunan jalanan adalah salah satu saluran untuk rakyat menyuarakan kebimbangan mereka.

“Terlalu banyak perkara yang menyebabkan kita memulakan protes.

"Protes adalah kuasa penyatu untuk mengumpulkan rakyat supaya bertindak. Maka anda perlu bangun dan protes,” katanya ketika ditemui semasa sesi bersama media.

Kata penyanyi Jumper itu, hak kebebasan bersuara juga diamalkan oleh rakyat Amerika, misalnya menyampaikan bantahan mereka dalam isu pemanasan global.

“Jika kita melihat isu itu semakin membimbangkan, perlu ada jalan penyelesaian diusahakan oleh pemimpin dunia untuk menangani isu berkenaan dengan segera,” katanya.

Third Eye Blind mempersembahkan 11 lagu antaranya Semi Charmed Life, Jumper, dan Company of Strangers.

Rockaway kembali menyengat selepas tiga tahun berehat dengan menampilkan barisan pemuzik hebat menerusi dua segmen – Rockaway Weekender dan Rockaway The Saga Continues

Terdahulu, band ikonik dari German iaitu Scorpions, kumpulan rock legenda tanahair Wings dan kumpulan blues rock klasik, Muzza’s Mayhem memeriahkan Rockaway Weekender pada 29 Oktober.

Pada 30 Oktober pula, giliran kumpulan metal dari Australia, Wolfmother dan band tempatan antaranya Artefacts, Daarchlea dan WTNSS menggegarkan pentas.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS