Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Jika diukur dari segi populariti nama aktor dari seberang Mike Lewis ketinggalan di Malaysia.

Pun begitu kalau dinilai pada bakat seninya ada potensi besar untuk melayakkan Mike, 35, menempa nama di sini.

Begitulah harapan pelakon yang pernah membintangi filem box office di Indonesia, Suster Ngesot (pada 2007) apabila ditanya mengenai impiannya untuk meluaskan kerjaya.

Bermula dengan kepayahan, Mike yang juga seorang model mengakui pernah gagal sewaktu mencuba nasib di sebuah agensi permodelan di negara ini.

Di sebalik kegagalan itu semangatnya masih berkobar untuk meraih peluang baru.

“Kali pertama menjejakkan kaki ke sini bagi menghadiri sebuah sesi uji bakat agensi permodelan sewaktu berusia 23 tahun tetapi pada ketika itu nasib tidak menyebelahi saya.

“Karier sebagai model bermula di Bangkok dan selepas itu ia berkembang hingga di Thailand dan Indonesia.

“Justeru, besar harapan saya untuk membina kerjaya menerusi projek di Malaysia seandainya diberi peluang berbuat demikian.

“Kerana menerusi cara itu, saya secara tidak langsung dapat berhubung dan merapatkan diri dengan peminat,” katanya kepada Malaysiakini.

Cerai tapi mesra

Mike ditemui di Kuala Lumpur pada sesi wawancara dikendalikan saluran Life Inspired saluran 728.

Mike akan muncul pada saluran itu 27 November ini.

Jejaka yang pernah diiktiraf sebagai Lelaki Paling Seksi Cosmo dua tahun berturut-turut oleh majalah Cosmopolitan itu dilahirkan di Jepun tetapi membesar di Kanada.

Bapa Mike, Ken Lewis, berdarah Kanada tetapi ibunya Wendy pula berasal wanita keturunan Cina Malaysia.

Kerana tugas bapanya sebagai diplomat, Mike dan keluarganya sering berpindah-randah hingga memahirkannya menguasai lima bahasa iaitu Inggeris, Indonesia, Thailand, Perancis dan Mandarin.

Memilih Indonesia sebagai tempat bermastautin, Mike berkata, gaya kehidupan yang tidak menimbulkan tekanan menjadi faktor dia memutuskan untuk menetap di negara itu.

Satu lagi faktor yang tidak kurang pentingnya bagi pelakon filem Malam Datang Untuk Kita itu ialah kehadiran bekas isteri yang kini menjadi sahabatnya, Tamara Bleszynski.

Mike dan Tamara - seorang pelakon, penyanyi dan model - berkahwin pada 2010 tetapi bercerai dua tahun kemudian. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang cahaya mata Kenzou Leon yang kini berusia hampir enam tahun.

Walaupun menjalani kehidupan berasingan, Mike dan Tamara tidak bermusuhan.

“Kita biasa melihat kalau ibu bapa bercerai yang menjadi mangsa pasti anak-anak, justeru saya tidak menyokong perceraian tetapi tidak dapat mengelak kalau itu jalan terbaik.

“Saya dan Tamara ingin jadi contoh kepada masyarakat walaupun sudah bercerai masih damai dan baik demi anak.

“Saya juga galakkan pasangan lain agar masih mengambil berat terhadap anak mereka walaupun tinggal berasingan dan mengamalkan hubungan baik demi mereka,” katanya.

Lihat Komen
ADS