Tahu bawa diri, Yuna tak takut Donald Trump
Walaupun Donald Trump menang pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS), penyanyi antarabangsa Yuna yakin keputusan itu tidak akan menjejaskan kariernya yang sedang meningkat di sana.
Katanya, demi memastikan jangka hayat kerjayanya berpanjangan di negara Uncle Sam itu, antara perkara perlu diamalkan adalah membudayakan sikap positif.
Trump (gambar) yang disifatkan sebagai pemimpin anti-Islam jelas tidak sedikit pun menimbulkan perasaan gentar pada penyanyi “Crush” – lagu duet bersama penyanyi AS Usher.
“Hidup tidak perlu sentiasa dihimpit perasaan khuatir, sebaliknya harus tahu bawa diri.
“Kalau menerapkan perasaan takut sentiasa ia menandakan saya sudah kalah terlebih awal sebelum berjuang.
“Kuatkan semangat dan Insya-Allah semuanya akan baik-baik saja,” katanya.
Dilahirkan dengan nama penuh Yunalis Zarai, 30, penyanyi yang berasal dari Kedah itu ditemui pada majlis sambutan ulang tahun pertama perkhidmatan strim Yonder Music di Kuala Lumpur kelmarin.
Menurut Yuna, ia berbeza jika dibandingkan sewaktu kali pertama dia menjejakkan kaki di AS lima tahun dahulu.
“Perasaan takut dengan ancaman ‘virus’ Islamofobia suatu perkara yang tidak dapat dielakkan.
“Tetapi sebelum pergi AS, saya terlebih dahulu bersiap-sedia untuk menempuh segala dugaan khususnya yang seperti itu,” katanya.
Trump dari Republikan memperoleh 276 undi manakala pencabarnya Hilary Clinton dari parti Demokrat hanya meraih 218 undi.
Trump sebelum ini adalah ahli perniagaan bergelar jutawan dan personaliti program realiti televisyen.
Sementara itu, tuah Yuna bagaikan 'terukir di bintang' apabila wajahya terpilih untuk menghiasi papan iklan elektronik di Times Square, New York bermula 22 November lalu.
Pada skrin gergasi itu, Yuna diangkat menjadi artis pilihan bulanan untuk Bursa Saham Nasdaq.
Menerusi akaun Twitter miliknya, Yuna meluahkan kegembiraan itu kepada peminat.
“Wajah anak jati Kedah anda baru saja terpampang di papan gergasi @NASDAQ di Times Square hari ini (semalam),” tulisnya.

