Bantah rancangan memindahkan kubur Tan Malaka - sekumpulan aktivis teater memilih jalan tersendiri untuk menyatakan perasaan masing-masing.

Beberapa anggota Kumpulan Teater Adab melakukan tarian di sisi kubur tokoh pejuang kemerdekaan Indonesia itu di Kediri, Jawa Timur.

Tempo melaporkan, rancangan memindahkan kubur itu adalah atas kehendak keluarga Tan Malaka sendiri.

Semalam, sekumpulan empat aktivis Teater Adab bersusah-payah melalui jalan curam dan berbatu bagi mencari kubur Tan Malaka.

Mereka - terdiri daripada siswa Universiti Negeri PGRI Kediri - kemudian mengadakan persembahan tarian kotemporari dan membaca puisi dengan tema "Yang Terlupakan".

Semuanya dilakukan untuk menyatakan rasa kesedihan mereka.

Seorang daripada mereka, Ike Miranti, membacakan sajak: "Tan, apa khabarmu di sana?"

Untuk tempoh kira-kira enam minit mereka melakukan aksi teater itu tanpa sebarang penonton kecuali diri mereka sendiri.

Ia memang bukanlah pelik. Selain lokasinya adalah tanah perkuburan, tempat itu juga terletak di kawasan terpencil dan hanya boleh didatangi dengan berjalan.

Boleh putuskan sejarah

Teraju utama pementasan itu, Muksin Kota Al Florezy, berkata persembahan mereka dibuat untuk menyatakan keresahan dan kesedihan dengan keadaan kubur Tan Malaka.

"Sebagai orang yang berjasa mencapai kemerdekaan Indonesia, Tan Malaka tak mendapatkan penghargaan daripada negara, sehingga jasadnya terkubur bertahun-tahun di pelosok desa tanpa jagaan selayaknya," katanya.

Tan Malaka - atau nama sebenarnya Sutan Ibrahim - lahir pada 2 Jun 1897 di Suliki, Sumartera Barat dan meninggal dunia di Kediri pada 21 Februari 1949.

Dia berusia 51 tahun ketika itu.

Dalam perjuangan politiknya Tan Malaka memilih jalan kiri dan menyertai tokoh lain dalam Parti Komunis Indonesia.

Tan Malaka juga mengasaskan Parti Murba dan diiktiraf seorang daripada tokoh Pahlawan Nasional Indonesia.

Kata Muksin, mereka tidak setuju kubur Tan Malaka dipindahkan ke wilayah kelahirannya kerana ia dianggap "memutuskan perjalanan sejarah" tokoh itu yang meninggal di Kediri.

"Biarlah jasad ini di Kediri, seperti kematiannya walaupun dia adalah milik bangsa Indonesia,” ujar mahasiswa dari Flores itu.

Sementara itu jurucakap pemerintah Kediri, Haris Setiawan, berkata mereka tidak boleh memberikan kenyataan rasmi terhadap isu pemindahan kubur Tan Malaka.

"Setakat ini kami belum dimaklumkan secara rasmi mengenai rancangan itu. Belum ada permintaan bertulis daripada pihak Sumatera Barat," katanya.