Biarpun semakin banyak spekulasi mengenai perkahwinan Acha Septriasa, pelakon itu masih mengambil sikap mengunci mulut mengenai hari bahagia yang bakal berlangsung.

Acha kini dikatakan sedang menjalin cinta dengan seorang jurutera perusahaan teknologi terkemuka di Australia.

Khabar angin itu menjadi lebih hebat apabila sebuah ruangan gosip di Instagram memuat naik imej kad undangan perkahwinan Acha dan Vicky Kharisma.

Pada kad undangan itu tertera perkataan Acha dan Vicky akan berkahwin pada 11 Disember 2016.

Bagaimanapun, maklumat mengenai majlis resepsi tidak disertakan.

Namun yang jelas, majlis berkenaan akan diadakan di Hotel Le Meridien, di Jakarta.

Sayangnya, meski undangan sudah tersebar, pelakon Heart itu masih senyap seribu bahasa.

Saat ditanya oleh media Indonesia sewaktu menghadiri kelas budaya Pusat Pembelajaran Quran di Jakarta Acha memilih untuk berdiam diri dan berlalu pergi.

Portal Tabloidbintang sebelum ini pernah meminta pengesahan maklumat mengenai perkahwinan berkenaan di pejabat Agama daerah Tebet Jakarta namun menemui kegagalan.

Menurut seorang pekerja di situ, Acha hingga Khamis lalu belum lagi mendaftarkan pernikahannya.