Penyanyi Azharina menamatkan saingannya dalam pertandingan akhir Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) apabila dinobatkan sebagai juara program realiti televisyen itu malam ini.
Dua lagu Nike Ardilla, Mama Aku Ingin Pulang dan Izinkanlah serta Kesetiaan (Siti Sarah) ternyata membawa tuah kepada penyanyi kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu.
Sebagai juara Azharina membawa pulang pelbagai hadiah lumayan, termasuk wang tunai RM100,000, sebidang tanah lot banglo bernilai RM60,000 dan pakej percutian ke Itali berjumlah RM15,000.
Turut dimenangi penghasilan single baru terbitan Astro.
Tempat kedua pula disandang oleh Siti Sarah yang mempersembahkan lagu I Will Always Love You dan Matahariku.
Antara hadiah dimenangi Siti Sarah ialah wang tunai berjumlah RM50,000, sebidang tanah lot banglo beserta sebuah trofi dan pakej percutian.
Penyanyi Zarul pula terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000 serta pelbagai imbuhan lain.
Berikut adalah keputusan penuh GV3 kali ini:
- Juara: Azharina
- Naib juara: Siti Sarah
- Ketiga: Zarul
- Keempat: Ameng
- Kelima: Intan Sarafina
- Keenam: G-Mie
Bercakap kepada media Azharina berkata kemenangannya malam ini adalah rezeki untuk anak lelakinya.
"Saya bersyukur kerana ditakdirkan menang walaupun semua peserta pada malam ini adalah terbaik belaka, cuma nampaknya rezeki memihak kepada saya," katanya.
Siti Sarah pula lega kerana suaranya 'keluar' seperti diharapkan pada malam ini.
Pada siri terdahulu Siti Sarah ditegur beberapa kali oleh juri kerana tidak memberikan persembahan seperti yang diharapkan.
Zarul pula berkata pada peringkat awal dia teragak-agak untuk menyertai GV3 tetapi akhirnya dia menguatkan semangat dan berjaya dengan cemerlang.
Persembahan berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Daripada 12 peserta awal, hanya enam terselamat dan terpilih ke pusingan akhir.
Sepanjang GV3 berlangsung pelbagai peristiwa menarik mewarnai pertandingan berkenaan, termasuk yang bersifat kontroversi.
Enam peserta yang tersingkir turut membuat kemunculan istimewa membawa lagu yang menghiburkan.
Berikut adalah 'tugasan' untuk keenam-enam peserta pusingan akhir:
- Siti Sarah - I Will Always Love You dan Matahariku
- Zarul - Gerhana dan Dendangan Laguku
- Azharina - Mama Aku Ingin Pulang dan Izinkanlah
- Ameng - Bourgenvilla dan Romantis
- Intan Sarafina - Sedetik Lebih dan Kemelut Di Muara Kasih
- G-Mie - Bila Bulan Berwarna Biru dan Salam Terakhir
