Gaya hidup mewah penyanyi Indonesia Syahrini memang selalu mencuri perhatian.

Selain dilihat sering berkunjung ke pelbagai negara atas urusan peribadi mahupun rasmi, Syahrini gemar menggunakan pesawat peribadi untuk memenuhi keperluannya.

Bagi orang kebanyakan, pengangkutan yang dinilai mempunyai kos tinggi itu mungkin dianggap keterlaluan, tetapi bagi Syahrini ia penting untuk membawanya ke sesuatu destinasi dengan lebih cepat.

“Dari segi profesionalnya, kegunaan pesawat adalah untuk memudahkan saya bekerja dan mudah tiba awal dari satu tempat ke tempat lain.

“Jadual saya terlalu padat setiap hari, kadang-kadang perlu berada di Jakarta tetapi esoknya harus tiba di Surabaya dan selepas itu ke Brunei pula pada sebelah malam.

“Pada ketika itulah saya benar-benar memerlukan jasa pesawat peribadi,” katanya.

Menurutnya, begitulah antara situasi yang perlu dihadapi saban hari sebagai seorang penghibur.

Biar sesibuk manapun aktivitinya Syahrini berkata, kerjaya yang diceburi sejak 2008 itu tidak pernah dianggap sebagai membebankan.

“Biasanya saya lebih gembira kalau jadual padat kerana kalau tidak dapat menyanyi, nanti jatuh sakit,” katanya berseloroh.

Syahrini, 34, yang juga pelakon itu ditemui pada acara perasmian koleksi pakaian VHijrah - busana muslimah - yang diasaskan oleh Vie Shanti Khan di Hotel Mandarin Oriental malam tadi. VHijrah turut menampilkan dua kolaborasi bersama Putra Aziz dan Rizman Ruzaini.

Syahrini adalah seorang selebriti terkenal di Indonesia dan ke mana sahaja susuk tubuh itu pergi pasti akan ada kisah “menarik” yang dikongsinya di media sosial.

Gemar berpenampilan berani dan menonjol, Syahrini malahan mengakui dirinya sebagai seorang yang taksub dengan dunia fesyen.

“Di Indonesia saya artis yang sinonim dengan fesyen, justeru tidak sah sekiranya hadir di sesuatu acara tanpa memakai fesyen terkini untuk melengkapi persembahan.

“Saya orangnya yang selalu ikuti fesyen yang meletup,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kehidupan sosial yang mungkin tanpa sedar boleh memudaratkan keselamatannya, Syahrini berkata perkara itu langsung tidak menimbulkan kebimbangan.

“Sebenarnya tiada niat menunjuk-nunjuk aktiviti seharian di Instagram yang akhirnya mencetuskan pelbagai persoalan mengenai pekerjaan apa dilakukan hingga membolehkan saya hidup dalam kemewahan.

“Banyak pihak memahami kerja saya dan kebetulan pula saya ni jenis orang yang bercitarasa tinggi malah apa dipamerkan juga dirasakan tidak keterlaluan.

“Untuk peminat pula, saya yakin mereka bijak menilai yang mana satu fesyen, sosial atau karya Syahrini,” katanya.