Tak salah bergantung harap pada media sosial
Generasi sekarang diannggap beruntung kerana mempunyai akses mudah kepada media sosial dan dengan kaedah yang betul, ia membantu populariti seseorang menjadi penghibur.
Bersetuju dengannya atau tidak, media sosial sudah menjadi antara penyumbang utama kepada kelahiran bakat baru dalam bidang seni.
Bagi Ning Baizura, tidak salah sekiranya fenomena seperti itu dimanfaatkan kerana sekurang-kurangnya ia dapat menyelamatkan industri muzik yang pada sesetengah pihak dilihat semakin suram.
Biarpun di kalangan kumpulan pelapis itu ada yang benar-benar berjaya menempa nama, namun selebihnya dianggap hanya popular dengan perhatian ramai berbanding bakat sebenar.
Sama ada mereka benar-benar boleh beraksi dengan bakat sejati atau hanya gah di media sosial adalah isu lain.
Namun, bagi Ning yang dilahirkan dengan nama penuh Ning Baizura Sheikh Hamzah, 41, kelemahan penghibur yang lahir dari media sosial itu boleh diatasi.
“Saya galakkan generasi baru menggunakan media sosial dan kita tidak menyalahkan teknologi kerana ia perkembangan yang bagus.
“Cuma bakat baru ini perlu ada pengisian yang betul, tekun menimba ilmu dan tingkatkan pembelajaran vokal dengan lebih gigih, atau rajin buat persembahan - tidak kira kecil atau besar - kerana ia membantu kita menjadi penghibur lebih baik.
“Saya tahu generasi muda banyak merujuk kepada kaedah diguna artis antarabangsa. Jadi, kalau kita di sini pun boleh memanfaatkannya begitu, lagi bagus,” katanya kepada Malaysiakini.
Menurut Ning, pada awal permulaan kariernya sebagai penyanyi, generasi sepertinya tidak dapat menggunakan kemudahan media sosial kerana ia belum wujud ketika itu.
Belajar walaupun mengajar
Katanya, untuk generasi sepertinya mereka perlu bermula dari bawah tanpa sebarang bantuan daripada YouTube, Smule, Facebook atau Instagram.
Namun kata Ning, dengan keadaan masyarakat kontemporari yang seolah-olah menjadikan tumpuan kepada media sosial sebagai antara ‘pekerjaan utama' setiap hari, tidak ada salahnya menggunakan media itu sebaik mungkin.
Ning mengingatkan, satu tanda aras perlu ditetapkan sebelum seseorang boleh bergelar penyanyi disegani.
“Berusahalah untuk jadi lebih baik. Saya juga berbuat begitu.
"Saya masih belajar walaupun sekarang mengajar kelas vokal.
“Ilmu tidak rugi kalau dipelajari lebih mendalam. Maka bergurulah dengan yang pakar dalam bidang berkenaan,” katanya.
Ning ditemui di majlis pelancaran Dinner In The Sky oleh 2Spicy Entertainment dengan kerjasama Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic) di Kuala Lumpur semalam.
Dinner In The Sky ditawarkan di MaTic selama enam bulan mulai hari ini dan orang ramai berpeluang merasai keunikan makan dengan tergantung hampir 46 meter di udara.
Menaiki Dinner in the Sky membuatkan Ning tidak terlepas dari mengalami perasaan gemuruh walaupun dia sendiri pernah melalui pengalaman lebih mendebarkan.
Kata Ning, sebelum ini dia pernah melakukan terjun lelabah (bungee jumping).
“Kalau berada di atas kita kena memandang ke bawah kerana nak tahu apa yang berlaku, berbuat begitu memang gemuruh betul rasanya.
“Bagi saya ia satu pengalaman unik kerana ia menjadi tarikan lebih ramai pelancong untuk datang ke Kuala Lumpur,” katanya.

