Setelah kejayaan filem Ip Man, nama Donnie Yen kembali diperkatakan apabila dia membintangi filem Star Wars: Rogue One dengan membawakan watak sebagai pahlawan buta, Chirrut Imwe.

Bagaimanapun, mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa dalam dunia nyata pun, Donnie sememangnya jaguh dalam seni mempertahankan diri.

Pernah pada satu ketika, teman wanita Donnie diganggu sekumpulan lelaki ketika pasangan itu mengunjungi sebuah kelab malam di Hong Kong.

Donnie kemudian memberikan teguran tetapi tidak diendahkan kumpulan lelaki berkenaan, yang sebaliknya menyerang pelakon itu.

Namun serangan itu berjaya dipatahkan Donnie dan nasib kesemua lelaki itu kemudian berakhir di hospital.

Kisah Donnie membelasah lapan orang sekali gus itu menjadi topik hangat dan disiarkan media-media tempatan sekitar tahun 1990-an.

Walaupun dilahirkan di Tanah Besar China, Donnie kerap menghabiskan waktunya di Hong Kong dan mula berjinak-jinak dengan teknik bela diri seperti Tai Chi dan Taekwondo daripada kedua ibu bapanya sejak kecil.

Pada usia 11 tahun, kedua orang tuanya berhijrah ke Amerika Syarikat dan di sana ibunya, Bow Sim Mark mengadakan kelas pembelajaran Tai Chi.

"Walaupun hidup di Boston, aku tetap berpegang teguh dengan norma dan tradisi budaya. Jadi bila aku kembali semula ke Hong Kong, ramai yang terkejut dengan cara hidupku.

“Di satu sisi, aku sangat kebaratan tapi di sisi lain aku sangat tradisional,” kata pemilik nama asli Yen Ji-dan itu.

Memetik laporan media tempatan, berbekal pengetahuan dalam seni bela diri, Donnie berjaya mengetengahkan bakat itu ke industri lakonan menerusi filem-filem aksi.

Aksi pertama kali Donnie yang mencuri perhatian adalah melalui filem Drunken Tai Chi yang disiarkan pada 1984.

Filem itu diarahkan sutradara legenda Yuen Woo-ping yang terkenal sebagai koreografi bela diri dengan karya-karya hebat seperti Crouching Tiger, Hidden Dragon (2000).

“Sebuah pengalaman besar bekerja dengan Yuen. Saya selalu menganggapnya sebagai sifu atau guru,” katanya.

Sejak itu, pintu rezeki buat Donnie dalam filem aksi semakin meluas hingga namanya diberi julukan sebagai bintang laga Hong Kong.

Di persada antarabangsa, Donnie terkenal selepas tampil dalam Ip Man (2008) - membawa peranan sebagai Yip Man, ahli bela diri yang berasal dari Tiongkok. Antara murid yang pernah berguru dengan Ip Man adalah Bruce Lee.