Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Sharnaaz bakal akhiri zaman bujang, tapi tidak lakonan

Walaupun bakal menamatkan status bujangnya tidak lama lagi, Sharnaaz Ahmad tidak berhajat untuk mengakhiri kariernya sebagai pelakon.

Menurut Sharnaaz, bidang lakonan diceburi ibarat sudah sebati dengan dirinya justeru tidak mudah untuk dilupakan begitu saja.

Pun begitu, cuti selama sebulan akan diambil bagi menyiapkan segala urusan majlis perkahwinannya dengan Noor Nabila Mohd Noor - kakak kepada pengacara popular Neelofa.

"Saya tidak akan berhenti berlakon walaupun selepas berkahwin nanti.

"Tetapi saya akan memulakan sebuah penggambaran drama bertajuk Mr Hijab bersama pelakon Erma Fatima dan Nabila Huda sebulan sebelum berkahwin.

"Cuma saya harapkan proses penggambaran berjalan dan boleh siap segera supaya tidak kelam-kabut untuk menyiapkan hal perkahwinan," katanya.

Sharnaaz dan Nabila ditemui di sidang pengumuman tarikh perkahwinan mereka di Clubhouse Duta Tropika, Kuala Lumpur hari ini.

Menurut pelakon drama Suamiku Encik Sotong itu, majlis akad nikah akan diadakan pada 31 Mac depan di rumah pengantin perempuan di Duta Tropika, Dutamas di Mont Kiara.

Kata pemilik nama penuh Sharnaaz Basir Ahmad, 31, itu majlis resepsi akan diadakan di dua buah lokasi.

"Majlis resepsi pihak perempuan akan diadakan di Kuala Lumpur pada 2 April 2017, manakala majlis resepsi pihak lelaki pula mengambil tempat di Hotel G, Pulau Pinang pada 16 April 2017," katanya.

Mengenai hantaran pula kata Sharnaaz, pihak lelaki akan memberi lima dulang dan dibalas tujuh oleh pihak perempuan.

Selain itu, perkahwinan Sharnaaz yang akan berlangsung di Pulau Pinang mendapat 90 peratus tajaan oleh Putree Bridal.

Sharnaaz dalam pada itu mendedahkan, Nabila dilamar ketika meraikan sambutan ulang tahun ke-31 wanita itu yang pada 4 September 2016 di sebuah restoran Jepun, sebelum dirisik 12 hari kemudian.

Sementara itu, Nabila berkata, untuk menjadi seorang isteri yang taat, dia wajar menyokong karier suaminya.

"Saya akan sokong seratus peratus perjalanannya sebagai anak seni.

"Saya tahu Sharnaaz memahami apa yang boleh atau tidak.

"Maka saya tidak akan menyekat atau menghalangnya dari meneruskan apa diminatinya kerana untuk memastikan rumahtangga harmoni, baik jangan cari pasal," katanya.

Lihat Komen
ADS