Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Empat artis Indonesia berjuang lawan barah
Diterbitkan:  Jan 10, 2017 5:12 PM
Dikemaskini: 9:50 AM

Penyakit seperti barah boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira umur, jantina atau keturunan seseorang.

Tiada sesiapa sanggup diuji dengan penyakit seperti ini, tetapi apalah daya manusia selain berikhtiar untuk diberikan kesembuhan dan berserah kepadaNya.

Beberapa artis Indonesia antara mereka yang sedang berjuang melawan penyakit ini yang dianggap sebagai pembunuh nombor satu dunia.

Berikut adalah empat artis Indonesia berkenaan seperti dilapor media tempatan.


1. Julia Perez

Pelakon yang juga penyanyi dangdut Julia Perez masih berjuang melawan penyakit barah pangkal rahim tahap empat.

Wanita yang lebih mesra disapa Jupe ini kini sedang menjalani sesi kemoterapi, satu kaedah untuk membunuh sel-sel barah yang dihidapinya sejak 2014.

Barah pangkal rahim adalah barah yang kerap dan biasa menyerang wanita.

Salah satu faktor kepada penyakit ini adalah disebabkan kehadiran antibodi kepada virus human papillomavirus (HPV). Walaupun tidak merbahaya, virus ini dipercayai menyebabkan perubahan kepada sel di pangkal rahim yang menyebabkan perkembangan barah.

Ketika ini sudah ada vaksin HPV untuk mencegah kanker serviks dan penyakit lainnya yang disebabkan oleh HPV.

2. Ria Irawan

Seorang lagi pelakon Indonesia yang menghidap barah adalah pelakon Ria Irawan yang dilapor menderita penyakit itu sejak 2014.

Berbeza dengan Jupe, Ria Irawan bergelut dengan barah limfoma.

Aktres Terbaik Festival Filem Asia Pasifik 2003 itu juga telah menjalani beberapa sesi kemoterapi. Namun, kebelakangan ini, Ria mengaku, barahnya telah merebak kebahagian perut.

Bagaimanapun, kehidupan tetap diteruskan. Pada 23 Disember lalu, Ria dilapor bernikah dengan lelaki pilihan hatinya, Mayky Wongkar selepas 17 tahun bersendirian.

Ria kembali menjalani sesi kemoterapi selepas majlis pernikahannya.

3. Aldi Taher

Pelakon Aldi Taher juga dilapor menghidap barah limfoma sejak tahun lepas dan sehingga kini sudah menjalani lebih lima kali kemoterapi.

Pada awalnya, Aldi menolak untuk melakukan kemoterapi tetapi berkat sokongan isteri dan rakan artis yang lain, dia akhirnya bersedia menjalani rawatan berkenaan.

Setelah menghidap barah, Aldi mengaku lebih rajin menjalani cara hidup sihat dalam kehidupan sehari-hari.

4. Yana Zein

Pelakon sinteron itu kini sedang berjuang melawan penyakit barah payu dara tahap empat.

Penyakit Yana baru diketahui akhir tahun lalu dan dia juga dilapor sempat merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan umum, termasuk rakan artis.

Pelakon filem Cintaku di Rumah Susun itu mengakui menghadapi masalah kewangan kerana menampung rawatan penyakitnya.

Kedua-dua anak perempuannya juga dilapor berhenti sekolah akibat masalah kewangan.

 

Lihat Komen
ADS