Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Nam Ron: Jangan perah rakyat dengan caj beg plastik
Diterbitkan:  Jan 11, 2017 6:05 PM
Dikemaskini: 10:15 AM

Pelakon Nam Ron menegur Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengenai keputusan drastik melarang penggunaan beg plastik dan bahan berasaskan polisterina di negeri itu.

Menulis surat terbuka di Facebooknya, Nam Ron berkata pengguna tidak diberikan pilihan dan terpaksa membayar caj yang dikenakan terhadap mereka.

Katanya, larangan penggunaan beg plastik juga menyebabkan keputusan itu 'dieksploitasi' golongan peniaga untuk mengaut keuntungan atas nama memelihara alam sekitar.

"Peniaga telah mengenakan caj 20 sen bagi setiap beg plastik. Alasannya (mungkin) untuk memberi beban kepada pengguna yang terpaksa membayar harga yang tidak masuk akal dengan harapan pengguna menolaknya.

"Namun beg plastik ini sudah menjadi seolah satu keperluan ketika membeli belah. Dan, pengguna tetap membayar 20 sen bagi setiap beg plastik walau tidak bersetuju kerana ia sangat memudahkan. Lagi pun apa lagi pilihan yang pengguna ada?,"tulis Nam Ron atau nama sebenarnya, Shahili Abdan.

Katanya, meskipun penggunaan beg kitar semula boleh menyelesaikan masalah itu, namun masih tidak ramai menggunakannya kerana belum menjadi budaya masyarakat.

"Mengenakan caj/denda bukan penyelesaian masalah kerana lama kelamaan ia (masyarakat) akan jadi sebati dengannya. Akhirnya rencana ini dilihat sebagai cara untuk memeras rakyat bukan memberi kesedaran.

"Dan, akhirnya rakyat membayar dalam terpaksa," kata pelakon filem Redha itu.

Kata Nam Ron, meskipun sesetengah pihak merasakan perkara itu remeh tetapi ia juga akan membuatkan rakyat hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Azmin.

"Adalah harapan saya sebagai ahli masyarakat untuk melihat kaedah ini diperbaiki segera agar kempen kesedaran ini dilihat lebih telus dan bukan dianggap sebagai alasan untuk memerah rakyat kebanyakan," katanya.

Pada 21 Disember lalu, Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor, Elizabeth Wong mengumumkan bekas makanan polisterina dan beg plastik tidak akan dibekalkan peniaga secara percuma mulai 1 Januari.

Selangor mula melaksanakan kempen “Hari Tanpa Beg Plastik” pada 2010, dengan sokongan kebanyakan pasar raya besar, pasar mini dan premis perniagaan, pada setiap Sabtu.

Pengguna dikenakan bayaran 20 sen bagi setiap beg plastik dan wang itu dikatakan akan disalurkan kepada badan kebajikan atau program kepenggunaan serta pemuliharaan alam sekitar.

Lihat Komen
ADS