Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Artis bukan untuk disalah guna lariskan produk

Pernah menjadi mangsa, Yana Samsudin kini lebih berhati-hati, malah mengingatkan peniaga tidak sewenang-wenangnya menggunakan artis sebagai bahan pelaris.

Tindakan itu, kata Yana, sebenarnya bukan saja menganiaya golongan selebriti, sebaliknya turut menzalimi pengguna.

“Tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan wajah mana-mana artis untuk mempromosi sesuatu produk sedangkan mereka tidak guna pun produk itu," katanya.

Yana mengulas tindakan sesetengah pihak menjadikan artis sebagai penghias iklan barangan seolah-olah mereka menjadi duta atau mengiktiraf produk berkenaan.

Dia sendiri pernah menjadi mangsa kepada penipuan melalui kaedah promosi atas talian.

Ibu kepada seorang anak itu berkata, kejadian terbabit pernah berlaku kepadanya dua kali apabila ada peniaga menyalahgunakan mukanya dengan tujuan untuk mempromosi sebuah jenama tudung dan produk penjagaan wajah.

“Ini tanggungjawab sebagai duta dan manusia. Kalau artis yang dikaitkan itu sebenarnya tidak menggunakan produk berkenaan, tidak tahu isi kandungan dan sebagainya, jika timbul masalah kemudian hari, yang mudarat artis itu juga,” katanya.

Yana ditemui pada majlis memperkenalkannya sebagai duta produk penjagaan muka Dr Norman Professional Skincare di Petaling Jaya kelmarin.

Tak sempat ke mahkamah

Bagi pelakon filem Lu’lu itu, memperdaya pengguna atas penipuan menggunakan gambar artis diibaratkan seperti perbuatan tidak berperikemanusiaan.

“Tidak baik begitu, jika buat, mereka (peniaga) macam tiada hati dan perasaan.

“Kita faham kalau mereka nak lariskan perniagaan, tetapi perlulah sediakan peruntukan untuk pemasaran jika ingin mengupah artis sebagai jurucakap mereka.

“Jangan jadi individu tidak bertanggungjawab dan guna wajah seseorang secara percuma,” katanya.

Sementara itu, suami Yana, Fadzil Zahari, 33, berkata untuk menangani penipuan yang dialami, langkah awal yang diambil adalah mendesak pihak terbabit menurunkan gambarnya dari promosi berkenaan.

“Kami beritahu mereka secara baik bahawa salah untuk berbuat begitu, dan beri mereka tempoh.

“Kalau tempoh itu berlalu dan mereka gagal mengikuti nasihat, kami akan ambil tindakan undang-undang.

"Biasanya mereka patuh sebelum kami bawa kes berkenaan ke mahkamah,” katanya.

Seorang lagi selebriti yang menjadi mangsa peniaga tidak bertanggungjawab itu ialah Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

Baru-baru ini ada pihak menyalahgunakan gambar Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, untuk mempromosi ubat perangsang seks.

Lihat Komen
ADS