Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Anuar Zain hilang suara, konsert batal
Diterbitkan:  Jan 21, 2017 9:43 AM
Dikemaskini: 6:17 AM

SENI Konsert Yonder Music Live Series By The Lake - Anuar Zain & You yang sepatutnya berlangsung malam ini di Panggung Anniversari, Taman Tasik Perdana terpaksa dibatalkan ekoran masalah kesihatan dihidapi penyanyi itu.

Anuar yang dijadualkan membuat persembahan solo sulung bersama Yonder Music terpaksa akur dengan nasihat doktor yang memerlukannya berehat kerana kehilangan suara.

"Saya memohon maaf kepada semua pihak yang terbabit atas situasi yang tidak dapat diduga ini. Ia satu keputusan yang amat sukar dilakukan," ujar Anuar dalam kenyataan malam tadi.

"Diharap anda semua dapat mendoakan kesihatan saya," kata Anuar yang dijadual mendendangkan 14 lagu hit pada konsert itu.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yonder Music, Adam Kidron, turut melahirkan dukacita di atas pembatalan konsert itu.

"Pihak kami difahamkan Anuar kehilangan suaranya pada hari ini dan dinasihatkan agar tidak meneruskan konsert seperti yang direncanakan.

"Biarpun ia amat mendukacitakan pihak kami dan peminat, namun kami perlu mengutamakan kesihatan Anuar. Semoga dia cepat sembuh," kata Adam.

Sebarang maklumat terkini terutama mengenai tiket, akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Lihat Komen
ADS