Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Taraneh boikot Academy demi Iran
Diterbitkan:  Jan 27, 2017 10:00 PM
Dikemaskini: 2:04 PM

Bukan saja di AS selebriti menunjukkan bantahan mereka kepada sikap perkauman melampau Donald Trump.

Kini pelakon terkenal Iran, Taraneh Alidoosti, mengumumkan dia tidak akan menghadiri majlis Anugerah Academy berprestij itu yang akan diadakan bulan depan.

Edisi ke-89 Academy di California pada 26 Februari.

Punca Taraneh memboikot majlis itu ialah keputusan Trump mengharamkan pengeluaran visa untuk warga Iran.

“Larangan Trump terhadap visa untuk warga Iran dan beberapa negara Islam lain bersifat rasis dan tidak boleh diterima.

“Sama ada majlis penganugerahan Academy itu tergolong dalam acara budaya atau tidak, saya tidak akan menghadiri #AcademyAwards 2017 sebagai tanda protes,” tulisnya.

Kenyataan Taraneh itu dibuat sehari selepas beberapa laporan muncul berhubung rancangan pentadbiran Rumah Putih - yang kini dikuasai Trump - untuk menghentikan permohonan visa selama sebulan dari tujuh negara di Afrika dan Timur Tengah.

Satu daripada negara itu ialah Iran.

Rancangan berkenaan menimbulkan ketegangan di kalangan komuniti Iran Amerika.

Badan Kebangsaan Iran - Amerika yang berpangkalan di Washington dalam satu kenyataan turut mengulas berhubung perkara berkenaan.

“Donald Trump sangat hebat terutama dalam bab berkempen mengenai perkara memalukan dan diskriminasi.

“Beliau memerintahkan pengharaman ke atas Muslim dan sekarang sedang melaksanakan langkah pertamanya.

“Perkara ini tidak boleh dibiarkan, rakyat AS sepatutnya lebih baik daripada ini,” kata pertubuhan berkenaan.

Taraneh, 33, yang kadang-kala dirujuk sebagai Natalie Portman Iran, dianggap sebagai seorang daripada pelakon wanita terbaik di negara itu.

Filemnya The Salesman diarah pemenang Oscar terdahulu Asghar Farhadi berjaya menggondol dua anugerah Filem Festival Cannes pada Mei lalu.

Ia turut dicalonkan untuk Oscar minggu ini bagi kategori Filem Bahasa Asing Terbaik.

Lihat Komen
ADS