Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ben Affleck tak akan arah Batman
Diterbitkan:  Feb 1, 2017 1:25 PM
Dikemaskini: 5:30 AM

Pengarah dan pelakon Ben Affleck memutuskan tidak akan mengarah filem terbaru Batman untuk Warner Bros.

Dalam kenyataan dikeluarkan kelmarin, Affleck berkata 'Adalah jelas saya tidak boleh buat kedua-dua kerja ke tahap mereka perlukan" dan pihak studio kini sedang mencari pengarah baru.

“Terdapat beberapa karakter yang mampu bertakhta di hati jutaan penonton. Untuk menjayakan watak ini memerlukan fokus, minat selain persembahan terbaik yang mampu diberikan,” katanya.

Sebelum ini Affleck membuat kemunculan pertama kali sebagai adiwira filem terbitan Warner Bros dalam Batman v Superman: Dawn of Justice.

Tugas Affleck bukan setakat itu, dia juga terikat untuk penulisan skrip dan mengarah filem berkenaan selama setahun.

Warner Bros dalam kenyataannya pula berkata mereka menyokong keputusan Affleck dan akan kekal bekerjasama demi membawa Batman ke layar perak.

Untuk musim luruh saja, Affleck membawa watak cameo sebagai Batman dan Bruce Wayne dalam Suicide Squad dan membintangi filem The Accountant. Dia juga menulis, mengarah dan berlakon dalam Live by Night.

Memetik laporan The Associated Press pada Disember lalu, Affleck berkata dia menghabiskan banyak masa untuk menyiapkan skrip Batman. Affleck menyifatkan usaha itu sebagai cabaran yang begitu mengujakan seperti melompat keluar dari pesawat.

Warner Bros pernah menghadapi permulaan sedikit goyah ketika cuba memperluaskan filem-filem DC Comics.

Walaupun Batman V Superman dan Suicide Squad dikecam hebat oleh pengkritik, filem itu dilaporkan masih mampu meraih keuntungan memuaskan.

Affleck akan muncul sebagai Batman dalam Justice League yang akan menjengah pawagam pada November.

Bagaimanapun, masih belum ada tarikh rasmi untuk Batman (filem solo), namun ia dijangka disiarkan pada 2018.

“Saya masih berada dalam produksi dan kami akan menjayakannya. Saya kekal komited untuk projek ini dan tidak sabar untuk membawa Batman ke layar perak demi peminat di seluruh dunia,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS