Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Schwarzenegger cabar Trump 'jom tukar kerja'
Diterbitkan:  Feb 3, 2017 12:26 PM
Dikemaskini: 4:39 AM

Aktor Arnold Schwarzenegger memberi cadangan kepada Donald Trump agar mereka saling bertukar-tukar pekerjaan supaya rakyat Amerika Syarikat dapat 'kembali tidur nyenyak'.

Arnold yang kini mengendalikan Celebrity Apprentice meminta Trump menggantikan tempatnya sebagai hos rancangan televisyen itu manakala tempat sebagai Presiden AS pula diserahkan kepadanya.

“Hei Donald, saya ada cadangan hebat. Mengapa kita tidak saling bertukar-tukar pekerjaan?

“Kamu ambil alih TV kerana begitu pakar mengenai kadar peningkatan penonton manakala saya pula menggalas tugas kamu supaya semua orang boleh kembali tidur lena,” katanya menerusi sebuah klip video dimuat naik di media sosial hari ini.

Jurucakap pelakon Terminator itu, Daniel Ketchell malah turut menambah kenyataan bekas gabenor California itu kepada CNNMoney.

“Arnold berdoa presiden Trump sudah boleh mula memperbaiki kadar kepopularan sendiri, apabila beliau menjadi presiden paling teruk dalam sejarah bermula dengan menggalas tanggungjawabnya secara serius dan bekerja secara inklusif,” katanya.

Schwarzenegger diumumkan sebagai pengganti Trump untuk mengendalikan rancangan berkenaan pada September 2015 selepas lelaki itu bercadang bertanding sebagai presiden.

Pada ketika itu Trump memuji Schwarzenegger menerusi Twitter: “Tahniah kepada kawanku @Schwarzenegger yang dijangka mengendali Celebrity Apprentice musim depan. Dia boleh menjadi hebat & meraih banyak $ untuk kebajikan."

Bagaimanapun, nada mesej itu dilihat berubah semalam.

“Kadar kepopularan jatuh mendadak. Ia menjadi malapetaka,” katanya seperti dilapor CNN.

Trump membuat kenyataan itu ketika berucap di acara The National Prayer Breakfast yang diadakan secara tahunan di Washington DC.

Trump kemudian berkata: “Saya hanya mahu berdoa untuk Arnold bagi rating itu.”

Bagaimanapun, komen Trump itu nampaknya hanyalah gurauan semata-mata.

Namun ini bukan kali pertama beliau menyampaikan kata-kata sebegitu mengenai kadar tontonan Celebrity Apprentice, sejak Schwarzenegger mengendalikan versinya sendiri yang disiarkan bulan lalu.

Presiden berkenaan mengutarakan pendapatnya selepas Schwarzenegger didapati tidak dapat menyaingi kadar tontonan yang pernah diraihnya sebelum ini.

Schwarzenegger baru-baru ini menyifatkan arahan Trump mengharamkan kemasukan penduduk dari tujuh negara majoriti Muslim ke republik itu sebagai kerja bodoh.

 

Lihat Komen
ADS