Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Saya menonton filem animasi ini ketika pesawat udara membawa saya terbang dari Doha, Qatar, ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Malaysia.

Agak lewat juga menontonnya sementelah ia sudah berada di pawagam sekitar Julai atau Ogos 2016.

Your Name atau Kimi no Na wa, adalah filem animasi arahan Makoto Shinkai, keluaran Comix Wave Film. Bukan sahaja mengarah, filem ini turut ditulis, disunting dan ciptaan sinematografinya juga dilakukan sendiri oleh Shinkai.

Your Name pada asalnya adalah sebuah novel tulisan Shinkai. Sebulan selepas ia berada di pasaran, karya ini terus dianimasikan. Untuk filem ini, Shinkai berjaya menandingi kehebatan filem-fiem keluaran Studio Ghibli.

Apa yang menarik tentang Your Name sehingga ia menjadi satu daripada empat filem animasi mencatat keuntungan tertinggi di Jepun?

Apa yang begitu bagusnya Your Name sehingga ia sering disebut-sebut peminat filem?

Sudah tentu ia disebabkan jalan ceritanya yang mengagumkan.

Filem animasi ini bukan saja berwarna-warni tetapi menyajikan elemen romantika yang disulam dengan fiksyen sains tentang pengembaraan masa, konsep spiritual dan bencana.

Ia mengisahkan dua remaja yang secara tiba-tiba bertukar tubuh selepas kehadiran tahi bintang. Pertukaran itu adalah pati dalam filem ini.

Mitsuha seorang remaja perempuan yang tinggal di kawasan pedalaman Itomori dan dia mengimpikan kehidupan di bandar raya Tokyo.

Dia bertukar badan dengan Taki, seorang remaja lelaki yang berada di sana.

Pertukaran itu yang silih berganti antara mereka mendatangkan kelucuan, kekeliruan dan misteri yang harus mereka berdua uraikan.

Dengan hanya berbekal telefon bimbit, mereka saling berhubung melalui aplikasi diari yang terdapat di dalamnya bagi mengetahui apa yang berlaku sewaktu kejadian pertukaran tubuh tersebut.

Babak akhir beri kesan

Fenomena itu akhirnya membibitkan perasaan cinta di antara mereka berdua. Taki kemudian berusaha mencari Mitsuha apabila secara tiba-tiba fenomena itu terhenti.

Cerita ini terbahagi kepada tiga bahagian pengembaraan. Pertama pengembaraan Mitsuha di dalam tubuh Taki. Kedua, pengembaraan Taki mencari siapa Mitsuha, dan ketiga pegembaraan mereka berdua selepas tersingkap segala kebenaran.

Filem ini wajib dijadikan koleksi buat peminat anime. Jika anda belum menonton filem ini, bolehlah mencarinya dan tonton. Ia memberikan kepuasan yang amat tinggi.

Your Name menolak jauh konsep cinta pandang pertama yang klise atau cara bagaimana pasangan pertama kali jatuh hati.

Ia dengan bijak mengangkat dua watak dalam acuan fantasi, sains, mistik, menolak logik dan membawa kita mengembara dalam satu perjalanan yang memukau.

Namun Your Name tetap menjadi filem drama cinta moden dengan lagu-lagu J-pop dari kumpulan Radwimps yang menjadi nadi muzik untuk keseluruhan filem.

Saya sangat terkesan dengan babak akhir filem ini. Dialun muzik latarnya yang melankolik, tanpa sedar jiwa terus menjadi sentimental.

Air mata dan senyum serentak menitis dan menguntum. Kagum dan puas menebal di jiwa sehingga sekarang.

Mungkin sesetengah orang akan skeptikal dan berkata ia tak lebih sekadar kartun. Akan tetapi animasi Jepun sejak dulu banyak memupuk perasaan kasih sayang, setia kawan, pengorbanan, keikhlasan dan nilai-nilai murni yang lain.

Filem ini tidak terkecuali daripada itu. Bukan sahaja bertapakkan hal cinta, Your Name juga memaparkan isu kesungguhan, tidak berputus asa, setia dan percaya apa yang dicari itu akan muncul juga.

Tapi terpulang bagaimana anda melihatnya. Dari skala yang kecil saya dapat menyingkap konsep hubungan dengan tuhan, tawakal dan hubungan sesama manusia yang menjadi pegangan kita umat Islam di dalam filem ini.

Tontonlah Your Name dan anda akan faham maksud saya.

Oh ya, sebagai langkah berjaga-jaga, walaupun bercorak animasi, elok juga diingatkan bahawa filem ini mungkin perlu ditayangkan tanpa kehadiran kanak-kanak atau penonton belum matang. Ha ha ha...


MUHD IQBAL mekanik dan pakar bateri kapal terbang yang menikmati manga, filem dan sastera. Kini berulang-alik antara Doha dan Sepang

Lihat Komen
ADS