Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) menafikan tuduhan Pengarah Sinematografi, Mohd Noor Kassim dan jurukamera, Dahlan Ibrahim mengenai badan itu yang didakwa tidak telus dalam memberi kebenaran kepada syarikat produksi luar menjalankan penggambaran.

Presiden Profima, Khir Mohd Noor berkata tuduhan bahawa syarikat produksi Allover Kuwait melakukan penggambaran tanpa memohon kelulusan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal), dibuat tanpa usul periksa.

“Saya memang mengetahui Allover Kuwait tidak mempunyai kelulusan dari Puspal dan semasa membuat tinjauan ke lokasi pertama, saya menasihatkan syarikat penaja tempatan yang bertanggungjawab mengurus dan membawa Allover Kuwait masuk ke negara ini supaya memohon kelulusan secara atas talian.

“Walaupun pekerja dari Kuwait hampir 50 orang tetapi jumlah itu termasuk mereka yang turut membawa keluarga, justeru kelulusan tidak perlu dipohon sebanyak itu. Mereka hanya mohon sebanyak 22 kelulusan saja.

“Biasanya ia mengambil hingga 14 hari untuk diluluskan tetapi mengikut kes tertentu, ia boleh dipercepatkan,” katanya ketika ditemui Malaysiakini.

Khir berkata aktiviti penggambaran tidak boleh dihentikan serta merta kerana terdapat sekurang-kurangnya 50 krew tempatan mencari rezeki dengan menyewakan peralatan kepada Allover Kuwait pada yang masa sama.

Tambahan pula, produksi dari Kuwait itu turut melabur sejumlah wang yang tinggi dan adalah perbuatan merugikan sekiranya dipersiakan begitu saja.

“Takkan saya nak hentikan produksi begitu saja, sedangkan mereka datang dari Kuwait untuk melabur wang mencecah RM2.4 juta di negara ini," tambahnya.

Krew kerugian RM180,000

Menurut Khir, kehadirannya ke Sabah bukan kerana "menerima rasuah" seperti didakwa, sebaliknya mahu membantu krew tempatan menyelesaikan masalah berkaitan peralatan di lapangan terbang Kota Kinabalu.

“Peralatan lewat mendapat pelepasan untuk dikeluarkan dari kargo dan proses dipercepatkan.

“Sebagai presiden, apa salahnya saya ke Sabah kerana yang meminta bantuan datangnya dari syarikat penyewaan peralatan tempatan.

“Apabila saya balik, produksi juga balik pada waktu sama kerana mereka pergi Sabah macam buang duit saja, alami kerugian dianggarkan bernilai RM180,000 kerana tidak buat penggambaran.

“Saya dah nasihat awal walau ada kelulusan Puspal sekalipun, di Sabah ada undang-undang yang memerlukan mereka mendapatkan kelulusan dari kementerian di negeri itu, jadi mereka pun pulang ke Kuala Lumpur," ujar Khir.

Sementara itu, dakwaan bahawa Allover Kuwait langsung tiada kelulusan Puspal juga adalah tidak benar kerana selepas pulang dari Sabah, permohonan mereka diluluskan oleh Puspal dan penggambaran diteruskan di Kuala Lumpur.

“Hari pertama dan kedua mereka memang tidak ada kelulusan, tetapi kemudian mereka hentikan penggambaran selama beberapa hari untuk tunggu kelulusan," tambahnya lagi.

Khir mendakwa kedua-dua krew terbabit gemar menceritakan keburukannya, sedangkan tidak menunjukkan prestasi cemerlang sehingga khidmat mereka ditamatkan oleh Allover Kuwait.

“Selepas hari kedua saja orang sudah tidak mahu mereka bekerja. Allover Kuwait pecat mereka sebab tidak tunjukkan mutu kerja yang bagus.

"Kerja mereka patut bersambung tapi orang tidak mahu mungkin kerana mulut, tidak tahulah,” katanya.

 

Lihat Komen
ADS