Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Kerajaan Perak bakal menubuhkan Perak Film Office dalam usaha menjadikan negeri itu sebagai hab perfileman dalam memberi peluang dan ruang kepada penggiat seni tempatan melakukan penggambaran.

Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, berkata pihaknya kini sedang merangka penstrukturan penubuhan itu dan ia dijangka akan beroperasi tidak lama lagi.

"Insya-Allah kita mahu Perak menjadi satu daripada negeri hab perfileman yang mana penerbit atau penggiat industri akan datang ke negeri ini untuk mengadakan penggambaran filem mereka di sini.

"Ini kerana kita memang menggalakkan penggiat seni tempatan membuat filem di Perak kerana sebelum ini terdapat syarikat produksi melakukan penggambaran drama atau dokumentari.

"Namun, kita tahu banyak filem telah menjalani penggambaran di Perak kerana ramai anak seni tempatan yang berasal dari negeri ini tetapi kita tidak mendapat pendedahan yang sepenuhnya daripada filem-filem tersebut," katanya.

Nolee Ashilin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri tayangan khas filem Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior sempena Tahun Melawat Perak 2017 di Golden Screen Cinema di Ipoh Parade, Ipoh, malam tadi.

Filem terbitan Tangan Seni Sdn Bhd itu diarahkan oleh pengarah terkenal Bade Azmi memaparkan kisah perjuangan pahlawan negara mendiang Temenggong Datuk Kanang anak Langkau.

Paling menarik filem itu dibintangi anak mendiang sendiri iaitu Langgi Kanang selaku teraju utama bersama Adi Putra serta beberapa pelakon popular lain seperti Johan As’ari, Zach X-Factor, Adam Shahz, Livonia Guing dan ramai lagi.

Mengulas mengenai pemilihan Ipoh sebagai tayangan pertama filem tersebut, Nolee Ashilin berkata ini kerana kira-kira 80 peratus penggambaran filem itu telah dilakukan di sekitar kawasan hutan di Perak.

"Ini (tayangan filem) merupakan satu penghormatan kepada kita kerana mereka memilih Perak sebagai negeri pertama untuk mengadakan tayangan pertama filem berkenaan di sini," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS