Pelakon dan pengacara Ary Malik meninggal dunia pada 7.17 malam tadi di Hospital Ampang, Selangor akibat barah ovari tahap empat. Dia berusia 46 tahun.
Suaminya, Shahrul Nizam Shaharuddin, 46, berada di sisi Ary ketika selebriti itu menghembus nafas terakhir.
“Isteri saya meninggal pada 7.17 malam tadi selepas bertarung dengan penyakit itu sejak setahun lalu,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Menurut kenyataan dikeluarkan Persatuan Seniman, jenazah akan dibawa ke Masjid Kem Wardieburn untuk dimandikan dan dikafankan.
Ia dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Ibu Kota pada malam ini.
Ary dimasukkan ke hospital pada 18 Februari lalu apabila keadaannya dilaporkan semakin lemah selepas menjalani rawatan kemoterapi sejak Jun tahun lalu.
Bagaimanapun, keadaan Ary bertambah kritikal dan terpaksa bergantung kepada mesin penyambung hayat.
Ary atau nama sebenarnya Nurita Maliha Aryanee Malik, 46, terkenal pada era 1990-an dan turut aktif sebagai pengacara televisyen selain pernah menyertai rancangan realiti televisyen, MasterChef Malaysia pada 2012.
Ary layak ke peringkat akhir siri berkenaan.
Hasil perkahwinan Ary dengan Shahrul atau lebih dikenali sebagai Shahrul Bromo, mereka dikurniakan tiga anak iaitu Nur Zoe Iman Malik, 19, Dinda Pelangi Timor Malik, 13, dan Ratu Chinta Mecca Malik, 11 tahun.
