Kira-kira 1,000 orang hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada jenazah seniman negara, Tan Sri Jins Shamsuddin sebelum allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al Ridhuan, Hulu Kelang.

Jenazah selamat dikebumikan kira-kira pukul 10.30 pagi hari ini.

Sebelum itu, jenazah dimandikan di kediamannya di Kampung Pasir dan kemudian disembahyangkan di Masjid Al Ridhuan.

Memetik laporan Utusan Online, antara rakan-rakan artis yang hadir adalah Datuk DJ Dave, Norman Hakim, Datuk Yusof Haslam, Datuk Ahmad Nawab, Datuk Fauzi Ayob, Zaiton Sameon dan Datuk M. Nasir.

Semalam, anak allahyarham Putera Hang Jebat mengesahkan bapanya meninggal dunia sebaik tiba di klinik di Taman Melawati, Kuala Lumpur kira-kira pukul 5.45 petang.

Jins tinggal bersama isterinya, Puan Sri Halijah Abdullah di Hulu Klang dan keadaan kesihatannya merudum selepas disahkan menghidap penyakit Alzheimer sejak 2011.

Allahyarham meninggalkan empat orang anak iaitu Muhammad Jafri (perkahwinan dengan seniwati Rahmah Rahmat), Putera Hang Tuah @ Shazrin (perkahwinan dengan Jamilah Shukur) dan dua anak hasil perkahwinan bersama Halijah, Putera Hang Jebat dan Putera Hang Nedim.