Seorang artis wanita didakwa bermain cinta dengan seorang pelakon berstatus suami orang dan dikatakan menjadi punca keretakan rumah tangga dibina lelaki berkenaan dan isterinya.

Hal itu didedahkan sendiri isteri pelakon itu di media sosial, menyebabkan akaun Instagram pelakon wanita berkenaan dibanjiri puluhan komen daripada peminat.

Segelintir peminat dilihat berang dengan tindakan artis wanita itu menjadi orang ketiga dan mengganggu rumah tangga pasangan terbabit.

“Allah maha berkuasa...doa orang-orang yang pernah hina (nama Instagram pelakon wanita itu) dah makbul...sendiri jadi pemusnah rumahtangga org lain,” kata pemilik akaun yeonjoo_arissa.

Seorang lagi pemilik akaun finaz_baybeh berkata: “Ohh ni la perosak rumahtangga tu..”

Bagaimanapun, pelakon wanita berkenaan tidak membalas sebarang komen terhadapnya ketika ini mahupun berkongsi aktiviti terkini di akaun Instagram miliknya.

Sebelum ini, isteri kepada pelakon lelaki itu mendedahkan beberapa bukti iaitu mesej yang diterima dan dibalas oleh suaminya kepada wanita itu di Instagram.

Mesej antara suaminya dan pelakon wanita berkenaan dikatakan membincangkan paras wajah anak yang diidamkan, sekiranya sekiranya mereka berkahwin.

Kononnya pelakon wanita terbabit yang berdarah Siam menginginkan bakal anaknya berwajah ala Jepun - merujuk kepada rupa dimiliki lelaki terbabit.

Bagaimanapun, status itu kemudian dipadam oleh isteri kepada pelakon lelaki itu. 

Namun daripada perkongsiannya semalam, wanita itu membayangkan mahligai yang dibina pada 2010 bagaikan sudah tiba ke penghujung.

“Saya akan ingat tarikh hari ni sampai bila-bila. Ia adalah tahap paling rendah dalam hidup saya. Dan saya ingin berkongsikannya dengan anda.

“Hari saya rasa cukup untuk saya fight (berjuang). Saya tau saya dah kalah lama dah tapi saya tetap berjuang. Tapi saya tak sedar ada perempuan lain yang tengah berjuang mati-matian juga untuk diri dia semasa saya berusaha berjuang untuk keluarga saya, untuk pastikan anak-anak saya ada keluarga lengkap.

“Saya kalah, saya putus asa banyak kali tetapi saya tetap berjuang. Saya berjuang, berjuang dan berjuang. Tetapi saya cedera teruk. Saya sudah tidak tertahan menanggungnya lagi. Saya kalah. Saya mengaku kalah,” katanya.