Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Ila Damiaa tak rela dihalang populariti suam-suam kuku

Meskipun perkembangan kerjayanya bergerak agak perlahan selama tujuh tahun ini, bekas protege Joe Flizzow di program Mentor 4, Ila Damiaa, tidak menuding jari mahu menyalahkan sesiapa.

Ila yang bernaung di bawah label Kartel Records milik Joe - penyanyi rap terkenal tanah air - percaya syarikat rakaman itu berusaha sehabis baik untuk melonjakkan namanya menerusi pelbagai cara.

Walaupun mengakui pernah berasa ralat apabila mengetahui namanya masih samar-samar dalam industri, Ila tidak membiarkan perasaan itu terus bersarang dalam jiwanya dan menghalang dia memburu kejayaan.

“Memang banyak cabaran perlu ditempuh apabila bergerak di bawah syarikat pengurusan indie (mandiri). Lagipun genre mereka lebih menjurus ke arah hip hop.

“Namun Ila tetap bersyukur diberi peluang melalui pengalaman berlainan, cuma mungkin masanya belum tiba,” katanya.

Ila atau nama penuhnya Ila Damia Johar, 27, ditemui pada sidang media pelancaran lagu terbarunya Cuma Kamu.

Cuma Kamu adalah hasil kerjasama antara tenaga kreatif Malaysia dengan bakat Indonesia, Ari Aru Renaldi, sebagai penerbit dan pengadun lagu.

Kehebatan Ari memang tidak asing lagi di republik berkenaan. Dia sebelum ini pernah bekerjasama dengan nama-nama besar seperti Datuk Rossa, Ungu, Afgan, dan Tulus.

Untuk makluman, bakat Ila dicungkil menerusi program Mentor 4 pada 2010. Anak kedua daripada lima beradik itu kemudian tidak pernah berhenti berusaha membina nama di dalam dan luar negara termasuk di Indonesia dan Singapura.

Antara pencapaian Ila adalah, bekerjasama dengan artis legenda dari Singapura, Sheikh Haikel, berkongsi pentas dengan penyanyi antarabangsa Robin Thicke dan EXO di MTV World Stage, dan baru-baru ini mengambil bahagian dalam rancangan Astro, Duo Star bersama Yasin Sulaiman.

Berkongsi lanjut mengenai penghasilan lagu tersebut, Ila berkata, Cuma Kamu membawa makna mendalam buat dirinya yang baru menempuh alam perkahwinan.

Wanita berasal dari Kuching, Sarawak itu mendirikan mendirikan rumah tangga dengan orang senegeri, iaitu penyelia keselamatan Abg Mohd Sahril Abg Spian pada 8 Mac tahun lalu.

Ila berkata, dia memilih lagu berkenaan kerana ia mempunyai perasaan saling berkaitan dengan kehidupan dijalaninya.

“Lagu ini tentang cinta dan kesetiaan hubungan sepasang kekasih. Ia boleh juga ditujukan kepada ibu bapa dan orang-orang yang kita sayangi.

“Saya ingin berkongsi maksud dan pengertian lagu ini dengan peminat yang menghargai perkahwinan atau kasih sayang,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS