Sudah menjadi lumrah buat peminat yang meminati dan menggilai artis kesayangan mereka untuk menghadiahkan sesuatu cenderamata sebagai kenang-kenangan.

Bagi penyanyi  kelahiran Thailand, Ammy Fara, paling tidak boleh dilupakan adalah apabila dia dihadiahkan senaskah al-Quran dan sepasang telekung oleh peminatnya.

Hadiah itu, kata Ammy, adalah antara pengalaman terindah pernah dilalui sejak dia bergelar penyanyi.

"Biasanya peminat yang maklum tentang minat saya akan menghadiahkan patung Hello Kitty. Tetapi ini berlainan apabila ada peminat menghadiahkan al-Quran dan telekung.

"Itu adalah saat paling mengharukan,” kata penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi pertandingan D'Academy Asia 2 kepada Malaysiakini.

Ammy Farra, 18, ditemui pada sidang media majlis penyerahan memorandum bersama Syarikat Rakaman dan Pengurusan Artis Padi Records di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut anak bongsu daripada tiga beradik itu, membaca al-Quran menjadi amalan biasa dilakukan bersama keluarga sejak dari kecil lagi.

"Setiap malam Selasa dan Khamis, kami tidak buka televisyen untuk membaca Al Quran. Kalau ingkar, ayah akan merotan kami dengan apa saja boleh dicapai di depannya," katanya.

Nama Ammy mula melonjak di Indonesia dalam arena dangdut selepas berjaya menduduki tempat keenam tertinggi peringkat akhir Dangdut Academy Asia 2.

Pertandingan yang mencari bakat dangdut di sekitar Asia itu diadakan dari 23 Oktober hingga November tahun lalu.

Walaupun nama Ammy masih asing di negara ini, menandatangani kontrak di Padi Records umpama pembuka jalan untuknya mencipta nama dalam industri tempatan.

Katanya, dia berharap untuk lebih dikenali selain mampu membina karier di tempat baru.

“Saya ingin melebarkan sayap di sini, selain Indonesia kalau ada rezeki lebih. Selain itu secara meluas di seluruh Asia.

“Walaupun saya masih terbuka untuk menyanyi selain genre dangdut, harapan untuk terus membina nama dalam irama itu memang kuat,” katanya.