Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN BUKU | Dua gadis itu diyakinkan bahawa seluruh rakyat sedang hidup di sebuah negara paling hebat di dunia dan segala-galanya di seberang sempadan adalah malapetaka.

Di selatan, apa yang ada - begitu ditanamkan di dalam kepala mereka - adalah nasib malang dan kebuluran semata-mata.

Kemudian Sungai Yalu di Hyesan meletakkan mereka pada takdir yang sama. Antara rasa ingin tahu dan berontak perasaan, Lee Hyeon-seo dan Park Yeon-mi meninggalkan Korea Utara secara haram.

Mereka - generasi jangmadang - menggadai nyawa tetapi demi masa depan, sebenarnya.

Saya menemui Hyeon-seo terlebih dulu - secara kebetulan dan didorong oleh rasa hati. Kemudian Kim Jong-nam pun matilah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2. Perkembangan itu membawa saya bertemu Yeon-mi pula.

Dan pada kedua-dua mereka, ada perbezaan ketara dan derita yang tersendiri. Jika difikir-fikirkan, selain perjalanan mereka yang berbeza, ia juga mungkin disebabkan oleh kemampuan David John menyusun cerita Hyeon-seo berbanding Maryanne Vollers menguruskan kisah Yeon-mi.

The Girl With Seven Names dan In Order To Live adalah kisah dua anak bandar Hyesan di utara Pyongyang yang ditakdirkan menjadi rakyat Korea Utara yang taat sebelum rasa ingin tahu mendorong mereka untuk keluar dari kepompong yang mencengkam itu.

Boleh saja dikatakan Yeon-mi lebih 'bernasib baik' kerana dia meninggalkan Hyesan secara terancang. Mendebarkan, tetapi dirancang lebih baik.

Keadaan sebaliknya berlaku terhadap Hyeon-seo kerana dia berhijrah secara tidak sengaja, tanpa persediaan dan kebanyakan yang berlaku adalah secara spontan.

Dan kedua-duanya adalah gadis yang naif.

Hyeon-seo lahir pada Januari 1980 manakala Yeon-mi awal Oktober 1993. Mereka membesar menjadi remaja dalam persekitaran yang tebal dengan budaya songbun (kasta) dan dibayangi oleh ketakutan kepada Bowibu.

Ada yang tak tuntas

Semuanya dicipta oleh Kim Il-sung dan diwarisi pula kepada anak dan cucunya, iaitu Kim Jong-il dan kini Kim Jong-un. Ketiga-tiga Kim itu disembah selayak tuhan oleh majoriti warga Korea Utara.

Bagaimana keluarga Kim yang itu mentarbiah rakyat Korea Utara boleh difahami dengan membaca salah satu buku ini.

The Girl With Seven Names dan In Order To Live juga memberitahu pembaca bahawa Korea Utara adalah sebuah negara yang indah tetapi dirosakkan oleh diktator yang menanamkan ketakutan secara melampau.

Hyeon-seo mempunyai pengalaman getir tersendiri manakala perjalanan hidup Yeon-mi juga tidak kurang pedihnya.

Apa yang membezakan kisah kedua-dua mereka ialah kelicikan John mengikat perasaan ingin tahu pembaca dari satu bab ke satu bab berbanding Vollers yang hampir terlalu bersahaja.

Perjalanan Hyeon-seo dari satu lokasi ke lokasi lain juga lebih mendebarkan. Dia bercerita dengan agak terperinci dan kadang-kadang insiden itu bagaikan berlaku di depan mata pembaca.

Bagi Yeon-mi pula, sesekali pembaca mungkin berasa ada sesuatu yang tidak tuntas, atau mahu didiamkan walaupun pada ketika lain dia bercerita dengan agak terbuka.

Pada ketika tertentu In Order To Live juga menyelitkan unsur lucu yang lebih bersahaja.

Menandakan mereka adalah manusia biasa, kedua-dua buku turun menampilkan sisi emosi Hyeon-seo dan Yeon-mi. Mereka bercinta - sama seperti gadis lain - dan berangan-angan bahawa hidup adalah indah semata-mata.

The Girl With Seven Names dan In Order To Live adalah dua kisah dua gadis yang menemui pencerahan di negara orang selepas bertahun-tahun hidup dalam kegelapan.

Gelap merujuk kepada makna tersurat dan tersirat - tanpa bekalan elektrik pada kebanyakan masa, dan dikelirukan oleh propaganda tebal Pyongyang.

Dari segi gambar-gambar yang diselitkan pula, sekali lagi The The Girl With Seven Names mengatasi In Order To Live.

Ada banyak maklumat yang boleh direnungkan pada kedua-dua buku ini. Tetapi jika ditakdirkan anda hanya dibenarkan memilih salah satu, pilihlah Hyeon-seo.

Judul: The The Girl With Seven Names / In Order To Live
Penulis: Lee Hyeon-seo (diceritakan kepada David John) / Park Yeon-mi (diceritakan kepada Maryanne Vollers)
Penerbit: William Collins (2015) / Penguin Books (2015)
Tebal: 304 halaman / 273 halaman
Harga: RM59.90 / RM54.95

Lihat Komen
ADS