Johan rancangan realiti televisyen Akademi Nasyid di stesen TV9, Azhan Atan, dilaporkan meninggal dunia awal pagi.
Allahyarham berusia 44 tahun.
Difahamkan keadaan kesihatan Azhan memang kurang memuaskan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, malah selepas menyertai pertandingan Akademi Nasyid itu ada tersebar mesej rayuan bantuan kewangan untuknya.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan apakah penyakit sebenar Azhan.
Harakahdaily melaporkan, Azhan dikenali kerana suaranya yang merdu mengalunkan nasyid sambil berdakwah di samping membawa pengaruh positif buat umum.
Ketika hayatnya, Azhan banyak terbabit dalam kerja-kerja sukarelawan Majlis Perudingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Unit Amal Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Walaupun mengalami masalah penglihatan, kekurangan berkenaan tidak menghalang Azhan untuk turun padang, menyantuni masyarakat demi melaksanakan tanggungjawabnya.
Kegigihan allahyarham bertungkus-lumus dalam operasi bantuan banjir pantai timur beberapa tahun lalu turut menjadi peringatan yang sukar dilupakan oleh sukarelawan dari seluruh negara.
Selain itu, beliau juga turut menjadi sukarelawan Mapim yang mengikut misi kemanusiaan ke Gaza Palestin beberapa tahun lalu.
Al-Fatihah.
