Kumpulan nu-metal Korn mengumumkan di Facebook bahawa konsert jelajah mereka yang akan datang di Amerika Selatan bakal mengundang seorang tetamu istimewa.

Kehadiran tetamu yang akan mengisi kerusi kosong pemain bass mereka, Fieldy adalah Tye Trujillo yang baru berusia 12 tahun.

Meskipun mungkin belum ramai mengenalinya, Tye sebenarnya merupakan anak kepada pemain bass Metallica, Robert Trujillo.

“Kami kesal kerana Fieldy tidak boleh menyertai konsert ini, namun agak teruja untuk melakukan persembahan dengan pemain muda seperti Tye.

‘Kami mengalu-alukan kedatangan Fieldy apabila dia kembali ke Amerika Syarikat pada Mei,” kata Korn dalam Facebook rasmi mereka.

Korn dijadual mengadakan persembahan mereka di Colombia, Brazil, Argentina, Chile dan Peru pada bulan ini.

Berusia awal belasan tahun, Tye aktif dalam muzik dan merupakan pemain bass sebuah kumpulan dinamakan The Helmets.

Band dari California itu terdiri daripada anggota yang kesemuanya berumur antara 11 hingga 12 tahun.

Tye dan bapanya juga pernah bermain secara langsung bersama-sama di atas pentas sebelum ini.