Ini bukan tangisan terakhir di Bumi
Tidak pasti mengapa buku ini diberikan tajuk Lelaki Terakhir Menangis Di Bumi. Mungkin ia hanya sebagai gimik untuk menarik orang membeli.
Sedikit mengelirukan, ia adalah judul yang hampir sama dengan karya penulis Indonesia - Lelaki Terkahir Yang Menangis di Bumi - karya Aan Mansyur.
Begitupun, tajuk buku ini bertentangan dengan apa yang akan menimpa para pembaca seusai habis pembacaan.
Ternyata selepas menghadami buku ini, penulis bukan lelaki terakhir yang akan menangis di bumi, malahan ramai lagi dalam kalangan pembaca - baik lelaki mahupun perempuan - yang akan menangis bersama-sama.
Buku ini menelusuri kisah Musa Nuwayri dan persatuan mahasiswa dari Universiti Al-Bayt, Jordan.
Melalui Tangsisan Syria Di Bumi Jordan (TSDBJ), sebuah persatuan yang didaftarkan sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mereka menghabiskan masa dan tenaga menyantuni pelarian perang Syria di Mafraq iaitu Timur Laut Jordan.
Kewujudan khemah-khemah usang yang berselerakan kira-kira 50 meter dari bahagian pintu belakang universiti telah menarik perhatian penulis buku itu untuk menghampiri dan meninjau kehidupan di kawasan berkenaan.
Tanpa dia menduga, ia adalah lokasi khemah pelarian 10 keluarga Syria yang terpaksa melarikan diri dari kekejaman tentera Presiden Basar al-Assad.
Berpeluh, kesejukan semua ada
Mereka yang kebanyakannya berasal dari Homs, Syria menyeberangi sempadan selepas rumah mereka hancur di bom.
Kem pelarian itu hanya beberapa puluh kilometer dari sempadan negara mereka.
Dalam buku ini pengarang memberi gambaran secara langsung mengenai kehidupan di khemah pelarian.
Pelarian terpaksa tinggal di khemah guni yang sempit, kotor dan usang. Pada musim panas ketika suhu meningkat sehingga lebih 40 darjah Celsius, mereka berpeluh dan terkuap dalam khemah tanpa alat pendingin.
Sebaliknya mereka terpaksa pula mencari dan membeli kayu api untuk dibakar apabila musim dingin tiba.
Kebanyakan pelarian tidak mampu menyewa rumah kerana kosnya yang tinggi.
Kebanjiran pelaran Syria di Jordan menjadi punca pemilik-pemilik kediaman menaikkan sewa rumah sesuka hati.
Masalah bekalan air dan elektrik begitu meruncing. Anak-anak berpakaian lusuh tanpa alas dan sentiasa dihurungi lalat.
Di khemah pelarian ini, anak-anak sekecil lima tahun sudah keluar bekerja untuk menyara kehidupan keluarga dengan menjual belon dan gula-gula getah.
Bilangan kanak-kanak yang berkeliaran mencari rezeki bukan seorang malahan mencecah puluhan orng. Merekalah yang terpaksa menyara keluarga memandangkan lelaki Syria yang berstatus pelarian tidak dibenarkan bekerja di Jordan.
Selesai dua jam
Apa yang menyedihkan Amman sendiri tidak menyenangi kehadiran pelarian yang disifatkan sebagai menyakitkan padangan di Jordan.
Lebih memburukkan, bukan hanya mereka tidak bersedia membantu malah tidak menggalakkan orang luar memberi bantuan kepada pelarian.
Disebabkan itu Musa - si penulis yang menghasilkan buku ini - menceritakan pelbagai halangan yang terpaksa mereka hadapi dalam misi membantu pelarian.
Lebih menyedihkan apabila halangan itu diterima juga daripada segelintir pelarian Syria sendiri yang cuba mengambil kesempatan terhadap keprihatinan TSDBJ.
Pembaca yang ingin menelusuri sela-sela kehidupan daripada sebuah kemanusiaan yang hilang akan mendapatkan gambaran yang jelas dari buku ini.
Iktibar juga boleh diambil daripada sikap pelarian yang terus utuh bergantung pada tuhan, tidak pernah mengeluh mahupun menyalahkan takdir.
Lelaki Terakhir Menangis Di Bumi mungkin tidak punya gaya penulisan yang menakjubkan. Tidak juga punya plot berpilin-pilin atau klimaks yang tak tersangkakan.
Begitupun buku ini tetap penting sebagai khazanah yang merakam sekelumit cerita pelarian Syria yang sudah puas menderita.
Bagi mereka yang selalu mahu segera menghabiskan sesebuah buku yang dibaca, buku ini memenuhi cita rasa itu kerana ia boleh dihabiskan dalam masa dua jam.
Tetapi bagi mereka mengeluarkan RM22 hingga RM25 untuk mendapatkan buku ini, ia mungkin dianggap sedikit mahal untuk bacaan yang singkat dan santai.
Tajuk: Lelaki Terakhir Menangsi Di Bumi
Pengarang: Musa Nuwayri
Penerbit: DuBook Press Sdn Bhd
Tebal: 222 halaman
NOR RAIHAN ABU BAKAR bekas wartawan yang kini bertugas sebagai pensyarah sebuah pusat pengajian tinggi awam.

