Penyanyi T.O.P masuk ICU kerana ubat penenang
Penyanyi rap Korea Selatan T.O.P yang namanya popular menerusi band K-Pop Big Band dimasukkan ke hospital semalam akibat pengambilan dadah berlebihan.
Laporan agensi Yonhap memetik YG Entertainment sebagai berkata, T.O.P ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan diletakkan di bawah penjagaan unit rawatan rapi di sebuah hospital di Seoul.
Menurut siasatan polis, T.O.P didapati memakan ubat penenang yang diambil atas sebab-sebab perubatan.
Pada Isnin lalu, pegawai mahkamah Korea Selatan berkata T.O.P atau nama sebenarnya Choi Seung-hyun didakwa tanpa ditahan atas tuduhan menghisap ganja.
Kata jurucakap mahkamah daerah tengah Seoul, T.O.P yang juga terkenal sebagai pelakon itu disyaki menghisap dadah sebanyak empat kali dengan seorang penyanyi baru di rumahnya, Seoul pada Oktober tahun lepas.
T.O.P pada ketika itu tidak mengaku bersalah.
Bagaimanapun, selepas ujian didapati positif, T.O.P kemudian mengubah pendiriannya dan memohon maaf.
T.O.P menyertai perkhidmatan ketenteraan mandatori sejak Februari lalu.
Perkhidmatannya akan digantung buat sementara waktu hingga keputusan rasmi diperoleh.
Penggunaan ganja diharamkan di Korea Selatan dan pesalah boleh dikenakan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda hingga 50 juta won (RM190,000).

