Batman meninggal dunia
Pelakon yang terkenal dalam watak siri televisyen Batman pada sekitar 1960-an, Adam West meninggal dunia pada usia 88 tahun.
Pelakon itu menghembuskan nafas terakhir Jumaat lalu selepas bertarung melawan penyakit leukemia dihidapinya, umum anggota keluarganya di laman Facebook milik West.
West mencapai kemasyuran selepas membawakan watak sebagai Bruce Wayne sejak 1966 hingga 1968 dalam siri televisyen popular itu.
Lakonannya menjadi kesukaan ramai kerana menampilkan drama dan satira humor yang menghiburkan.
Pelbagai watak mampu dibawanya menyebabkan West terus menonjol dan melebarkan sayap lakonannya dalam pelbagai karektor.
Dilahirkan dengan nama William West Anderson di Walla Walla, Washington pada 1928, pelakon itu kekal menggunakan nama Adam West di pentas lakonan sebelum berpindah ke Hollywood pada 1959.
West pernah terlibat dalam program televisyen dan filem, termasuk Dark-Knight yang membuat namanya naik mencanak.
West meninggalkan isteri, Marcelle, enam anak, lima cucu dan dua cicit.
"Tiada kata-kata untuk menjelaskan bagaimana kesedihan kami tanpanya.Kami tahu anda juga akan merinduinya dan kami mahu anda tahu betapa kami amat menyayanginya," kata mereka.

