Paling Popular
Terkini

ULASAN | Perutusan ini dibuat kepada saudara Rafizi Ramli selepas saya menonton video iklan program ‘Membina Semula Negara’ yang dianjurkannya dan Invoke ke seluruh negara.

Saya tiada masalah tentang tiga perkara yang saudara hendak bawa dalam siri jelajah tersebut. Bahkan saya sangat mengalu-alukan hasrat tersebut.

Saya yakin siri jelajah itu akan memberikan kesedaran kepada masyarakat terhadap persoalan yang ada disekitar kehidupan mereka.

Sebagai ahli Dewan Rakyat yang merupakan tempat penggubalan undang-undang negara, saya kira saudara memiliki tanggungjawab sosial yang sangat besar.

Tidak perlu saya mensyarahkan hal tersebut kerana saudara lebih maklum daripada saya.

Selepas pemimpin masa lalu mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, ia terus dirundung malang tak sudah. Betul, kita harus berhenti merintih dan mengeluh.

Saya kira, pemilihan tema Jom Bina Semula Negara Kita sudah cukup menyentuh sanubari masyarakat Malaysia. Sudah cukup kuat untuk rakyat faham.

Sebaliknya saya tidak faham mengapa saudara harus memakai baju yang tertulis Rebuilding Our Nation? Mengapa tidak menggunakan bahasa kebangsaan?

Negara ada sejak kurun keempat

Ya, saya nampak poster dan lori untuk program ini menggunakan bahasa kebangsaan.

Pada saya memakai baju berbahasa Inggeris dalam kempen ini adalah satu tindakan bawah sedar yang memberi gambaran ketidakprihatinan saudara terhadap kepentingan bahasa kebangsaan.

Perlu diingatkan bahawa nama saudara disebut-sebut akan menjadi orang terpenting dalam kabinet jika Pakatan Harapan menguasai Putrajaya.

Oleh itu perutusan yang saya hantar ini sangat penting sebagaimana pentingnya kedudukan saudara.

Slogan ‘Jom Bina Semula Negara Kita’ bukanlah sesuatu yang asing dalam pemikiran masyarakat Malaysia. Contohnya istilah ‘negara’ sudah wujud sejak kurun keempat dan kelima Masehi dengan kewujudan kerajaan bernama Tarumanegara di Jawa Barat.

Karya Mpu Prapanca yang bertajuk Nagara Kertagama ditulis pada 1367 adalah suatu gambaran bahawa istilah ‘negara’ wujud lebih awal dan sebati dalam pemikiran masyarakat di sini. Konsep negara sudah tertanam dalam pemikiran masyarakat kita.

Mungkin pada saudara hal yang saya ungkitkan ini adalah remeh atau kecil. Jika anggapan ini benar, maka bahasa kebangsaan sekali lagi diperkecilkan oleh pemimpin masa kini yang berhajat mahu menjadi pemimpin negara pada masa depan.

Bahasa kebangsaan hanya bersuara pada lembaran perundangan yang digubal di parlimen. Akta 152 ibarat tugu bangsa yang tiada makna.

Ini kerana para penggubalnya sendiri tidak merasai roh dan makna bahasa kebangsaan.

Jangan datang ke negeri kami

Ingatlah pesanan pejuang kemerdekaan yang ada antara mereka menjadi tokoh terlibat dalam Jawatan Lembaga Bahasa Melayu pada 1950, iaitu Dr Burhanuddin al-Helmy.

Katanya:
Di atas robohan Kota Melaka
Kita dirikan jiwa merdeka
Bersatu-padulah segenap baka
Membela hak keadilan pusaka

Apakah maksud ‘bina semula negara kita’ yang saudara ingin laung-laungkan seluruh negara itu? Apakah hanya dengan dasar ekonomi semata-mata, sedangkan membina semula negara adalah persoalan yang sangat mendasar sifatnya.

Puisi warisan Dr Burhanuddin itu sendiri memberi jawapan yang sangat tepat. Membina negara adalah suatu budi, tanggungjawab bangsa dan satu keadilan buat segenap baka.

Saya bersetuju negara kita hampir musnah dan rosak sepenuhnya. Saya juga sangat bersetuju dengan usaha membina semula sesuatu yang sudah roboh.

Negara tidak dibina dengan kesedaran politik dan ekonomi semata-mata. Negara ibarat jasad yang memerlukan roh. Negara tanpa roh ibarat jasad tanpa nyawa. Bagai tugu dan monumen kosong.

Kesedaran berbahasa dan berbangsa adalah tunggak kekuatan negara. Bahasa Jiwa Bangsa. Inilah kata-kata keramat tinggalan para pujangga lama. Saudara jangan lupa.

Dasar sesebuah negara ialah kebudayaannya yang bertamadun. Antara teras budaya adalah bahasa. Bahasa ini menghubungkan makna dalam akal dalam sesuatu masyarakat.

Saya kira, masa untuk bertolak ansur dalam soal bahasa kebangsaan sudah sampai ke penghujungnya. Saya seru agar seluruh warga bangsa Malaysia bangkit menolak sebarang usaha yang meminggirkan bahasa kebangsaan.

Dengan itu bersegeralah saudara Rafizi dan Invoke melucutkan baju tersebut dan gantikan dengan bahasa kebangsaan. Atau jika enggan, berhentilah untuk datang ke negeri kami!

Sarungkan jasad kita dengan budaya bangsa. Kita bina semula negara dengan budaya kita. Cara yang sebagaimana guru-guru kita ajarkan sewaktu di sekolah rendah dengan pantun berikut:
Yang kurik itu kendi,
Yang merah itu saga;
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

Salam perjuangan penuh hormat dari saya.


DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah di Universiti Teknologi Petronas, naib pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak dan penulis buku serta esei.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya membayangkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS