Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Saya masih sayangkan Aliff'
Diterbitkan:  Jul 30, 2017 12:46 PM
Dikemaskini: 4:56 AM

Selepas membuat laporan polis terhadap suaminya, Bella Astillah mengakui perasaan cinta terhadap Aliff Aziz tidak berbelah bahagi ketika penyanyi itu dihimpit kontroversi apabila didakwa berlaku curang serta kaki pukul.

Bella juga tidak berhasrat untuk berpisah dengan suaminya walaupun terpaksa melalui detik getir ketika ini selain persepsi buruk orang ramai terhadap Aliff atas kejadian itu.

Bella atau Dayang Nabellah Awang Astillah, 23, berkata, tuduhan bahawa Aliff, 26, kaki pukul juga tidak benar malah suaminya itu tidak pernah mengasarinya sejak mereka berkahwin pada 9 September 2016.

“Saya tidak terfikir untuk berpisah dan masih sayangkannya malah Aliff tidak pernah memukul saya seperti yang hebat diperkatakan sejak semalam.

“Sebaliknya apa yang berlaku pada hari kejadian hanyalah pergelutan dan dalam situasi itu secara tidak sengaja dia mencederakan saya,” katanya kepada mStar Online.

Tambah Bella, tanggapan bahawa Aliff kaki pukul tidak adil kerana sepanjang mereka berkahwin sehingga mempunyai anak dia tidak pernah bersikap ‘naik tangan’.

Katanya, apa yang berlaku dalam rumah tangganya ketika ini hanyalah disebabkan orang ketiga yang cuba meruntuhkan kebahagiaan mereka.

Aliff juga katanya merupakan seorang bapa yang baik kepada anak mereka iaitu Mohamad Ayden Adrean yang dilahirkan pada 8 Julai lalu.

“Sepanjang kahwin, dia tak pernah pukul saya malah dia juga bertanggungjawab terhadap anak kami,” tambah Bella lagi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang Khamis lalu, Bella bersama ibunya dikatakan mencari Aliff dan menemuinya bersama seorang wanita di sebuah pusat hiburan.

Dalam satu laporan polis yang dibuat Bella di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras sehari selepas itu, wanita yang masih dalam pantang itu dikatakan bertindak memarahi Aliff sebelum sempat merakam beberapa keping gambar suami dalam pusat karaoke itu.

Ekoran itu Aliff ditahan dan dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Media melaporkan Aliff bertindak kasar dan merampas telefon tersebut sebelum memadam kesemua bukti gambar yang telah dirakamnya.

Akibat pergelutan tersebut, Bella dilapor mendakwa dia mengalami luka di muka dan lutut setelah ditolak menggunakan tangan dan siku oleh suami.

Rata-rata netizen terutamanya golongan wanita mengecam tindakan Aliff dan menuduhnya sebagai lelaki dayus kerana sanggup memukul isteri.

Lihat Komen
ADS