Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Serina sah bercerai talak satu
Diterbitkan:  Aug 1, 2017 12:37 PM
Dikemaskini: 4:47 AM

Pelakon dan pengacara Serina Redzuawan bercerai talak satu dengan suaminya di Mahkamah Rendah Daerah Petaling hari ini.

Lafaz cerai dibuat oleh suami yang juga ahli korporat, Salahuddin Ghaffar @ Gavin Edward O'Luanaigh di hadapan Hakim Syarie Nurul Hidayah Jani pada jam 10.49 pagi.

Anak kepada chef terkenal Datuk Redzuawan Ismail itu dan bekas suaminya, sebelum ini tinggal berasingan sejak dua tahun lalu.

Malah, Serina juga pernah memaklumkan dirinya pasrah sekiranya ditakdirkan mengharungi perceraian itu.

Menurut laporan Berita Harian, Serina, 34, memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 menerusi peguam syarie, Zulkifli Che Yong.

Pada prosiding sama, Salahuddin turut menarik balik permohonan nusyuz (kembali taat) terhadap Serina seperti yang pernah difailkan sebelum ini.

Serina dan Salahuddin mendirikan rumah tangga pada 1 Januari 2010 dan hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Tristan Tareef dan Isabella Saffiya.

Sebelum ini, Chef Wan pernah mendedahkan bahawa punca isu nafkah menjadi beban yang mendatangkan konflik dalam rumah tangga anaknya.

Chef Wan meluahkan, sudah berbuih mulutnya menasihati menantu Salahudin Ghafar agar menjalankan tanggungjawab sebagai suami dengan memberi nafkah, tetapi tidak diendahkannya.

Menurut Chef Wan, sikap tidak bertanggungjawab dalam memberi nafkah membuatkan Serina terbeban dengan pekerjaan berlebihan masa.

Lihat Komen
ADS