Isteri penyanyi Aliff Aziz iaitu Bella Astillah, memberitahu tiada sebab dia menolak permohonan maaf daripada pelakon Anzalna Nasir.
Walaupun dilakukan secara terbuka dan bukan peribadi, jelas Bella tindakan itu diterimanya dengan hati terbuka.
“Bila orang sudah minta maaf kita harus memaafkan mereka.
“Dia buat secara terbuka lagi dan saya sangat berbesar hati untuk menerima permohonan maafnya,” katanya kepada Utusan Online.
Permohonan maaf kakak kepada Afififah Nasir itu dibuat melalui sebuah artikel yang dikeluarkan dalam sebuah portal hari ini.
Dalam kenyataannya itu Anzalna turut berkongsi rasa gembira kerana rumah tangga Bella dan suaminya Aliff kembali baik.
Tambah Bella sepatutnya Anzalna tidak berada dalam kemelut ini memandangkan kontroversi itu hanya melibatkan suaminya, dia dan Afifah sahaja.
“Mungkin selepas ini Anzalna perlu mengetahui keadaan sebenar sebelum boleh mengeluarkan apa-apa komen.
“Sepatutnya dia tidak terlibat tetapi mahu buat macam mana,” katanya.
Sebelum ini laman Instagram pelakon cantik ini diserang netizen selepas mengeluarkan komen mempertahankan adiknya Afifah.
Dalam komen itu Anzalna turut menyentuh tahap emosi Bella dengan tulisannya.
“Perempuan yang baru bersalin ni lain sikit perangainya, bak kata orang meroyan, tapi itu orang tua cakap, jangan salahkan I," merujuk keadaan Bella yang ketika ini masih lagi berada dalam pantang selepas melahirkan anak pertamanya kurang empat minggu lalu.
Terdahulu, Anzalna hari ini berharap ada pihak mengambil iktibar daripada insiden melibatkan adiknya dengan Aliff baru-baru ini.
Insiden antara Bella dan Aliff tercetus selepas wanita itu hadir ke sebuah pusat karaoke di Cheras dan menemui suaminya itu sedang bersama Afifah.
Bella kemudian dilapor merakam beberapa keping gambar Aliff hingga menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka. Akibat pergelutan itu, Bella mendakwa mengalami luka pada bahagian muka dan lutut.
Satu laporan polis turut dibuat Bella terhadap suaminya. Bagaimanapun, Bella menarik balik laporan tersebut selepas Aliff bermalam selama dua hari di lokap Balai Polis Dang Wangi.
