Pelakon Ummi Nazeera mengesahkan sudah bernikah lebih awal pada 23 Julai lalu dengan lelaki pilihannya.
Kata Ummi, majlis yang sepatutnya dijadual berlangsung hari ini dipercepatkan bagi menghormati permintaan keluarga.
"Saya mengaku sudah bergelar isteri Izzar sejak 23 Julai lalu kerana menuruti keputusan keluarga agar pernikahan ini diadakan lebih awal daripada tarikh dirancang," katanya dalam satu kenyataan.
Di Putrajaya semalam, Ummi dan pasangannya diraikan dalam sebuah majlis yang turut dihadiri 200 keluarga terdekat termasuk orang kenamaan.
Ummi sah diijabkabulkan bersama Izzar yang merupakan seorang doktor berasal dari Kuala Lumpur dengan sekali lafaz pada jam 10.45 pagi di kediaman adik kepada bapa Ummi, Datuk Aziz Mat Akhir di Bukit Tunku, Kuala Lumpur. Khutbah nikah disampaikan Imam besar Masjid Wilayah, Datuk Rashidy Jami Al-Rashid.
Bagaimanapun, jumlah mas kahwin dirahsiakan dan hanya 20 tetamu diundang pada majlis pernikahan mereka.
Ummi menerima tujuh dulang hantaran berbalas sembilan.
Selepas melalui fasa berumah tangga selama 11 hari, pelakon Patah Sebelah Sayap itu berkata, dia kini lebih tenang selain gembira menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri.
Takut berdosa dengan suami
Namun, dalam pada itu, kata Ummi, hidup berpasangan memerlukan dia lebih menitikberatkan soal dosa dan pahala selain tidak terlalu mengikutkan emosi.
"Saya kena lebih berhati-hati dalam setiap perkara kerana sekarang hidup berdua bersama suami. Kalau hendak merajuk atau marah, kena berfikir banyak kali disebabkan takut rasa berdosa dengan suami," katanya.
Bagaimanapun, kegembiraan Ummi sebagai isteri diuji apabila terpaksa berjauhan buat sementara waktu dengan suaminya itu.
"Cuma agak sedih apabila kami terpaksa berpisah selepas setengah hari bernikah kerana Izzar masih lagi bertugas di Sarawak. Yang pasti, saya perasan bahawa suami menjadi lebih romantik selepas berkahwin," jelas Ummi yang bakal meneruskan karier seni seperti biasa selepas ini.
Kedua- dua mempelai itu merancang untuk berbulan madu di Sabah dan Switzerland tidak lama lagi. Resepsi persandingan pasangan itu akan diadakan di Hotel Shangri-La pada Sabtu ini dan diikuti di Dewan Bankuet Menara Felda, Persiaran KLCC pada 12 Ogos ini.
Ummi dan Izzar mengikat tali pertunangan pada 12 November tahun lalu ketika memasuki usia tiga bulan berkenalan selepas diperkenalkan oleh ibu Izzar pada 29 Januari 2016. Sementara itu, Ummi bakal muncul dengan filem terbaharunya, Bisik Pada Langit arahan Kabir Bhatia tidak lama lagi.
